Semua PPS di Pulau Pinang ditutup

Iklan
Semua PPS di tiga daerah di Pulau Pinang ditutup pada jam 12 tengah hari Sabtu.

GEORGE TOWN - Semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pulau Pinang ditutup pada jam 12 tengah hari Sabtu susulan banjir yang melanda negeri ini kembali pulih.

Iklan
Iklan

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, kesemua mangsa yang ditempatkan di tiga daerah iaitu Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS) dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Sebelum ini, 11 PPS dibuka pada Selasa lalu untuk menempatkan lebih 600 mangsa banjir di tiga daerah berkenaan.

Iklan

Lima PPS dibuka di SPT iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Penanti, Dewan Bukit Teh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa, SMK Permatang Pasir dan Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah.

Sementara di SPS, hanya dua PPS dibuka iaitu Dewan Sungai Bakap dan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sanglang.

Iklan

Bagi SPU pula, empat PPS dibuka iaitu di SK Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan, SK Padang Menora dan Dewan Banjir Labuh Banting.

Dalam sidang medianya pada Selasa, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, taburan hujan lebat direkodkan mencecah 110 milimeter per jam sehingga berlaku banjir kilat membabitkan 43 kawasan di SPT dan 28 kawasan di SPS.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang berkuat kuasa sehingga Khamis lalu.