Warga asing sewa motosikal RM50 sehari bawa barang jualan

Iklan
Antara individu yang diperiksa dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing sekitar Sungai Buloh pada Jumaat.

SUNGAI BULOH - Sanggup menyewa motosikal dengan kadar RM50 sehari untuk membawa barang jualan antara dikesan dilakukan seorang lelaki warga asing yang ditahan dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing sekitar Sungai Buloh pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Individu berumur lingkungan 30-an itu mendakwa menyewa motosikal berkenaan daripada rakannya yang merupakan warga tempatan.

Selain itu, tindakan seorang wanita warga asing yang cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa memakan diri apabila berjaya ditahan dalam operasi sama.

Iklan

Individu berumur lingkungan 20-an terbabit sebelum itu didapati menunggang motosikal roda tiga membawa makanan untuk dijual.

Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), individu berkenaan kemudiannya didapati cuba melarikan diri namun berjaya ditahan anggota bertugas.

Iklan

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi yang dijalankan secara statik dan rondaan ini bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari.

Motosikal yang ditahan disita untuk tindakan selanjutnya dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing sekitar Sungai Buloh pada Jumaat.

Beliau berkata, sebanyak 107 kenderaan diperiksa melibatkan 68 buah motosikal, 23 kereta, 11 lori dan lima bas dan melibatkan 88 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Operasi dijalankan ini memberi fokus kepada pemeriksaan semua jenis kenderaan dipandu atau ditunggang warga asing serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan lesen memandu.

"Tidak memiliki lesen memandu merupakan kesalahan paling banyak dikesan diikuti kesalahan melibatkan teknikal merangkumi pengubahsuaian kenderaan serta cukai jalan tamat tempoh," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, rata-rata warga asing yang ditahan ini memberikan alasan terpaksa menunggang serta memandu kenderaan untuk menyara kehidupan mereka.

"Kebanyakan mereka yang ditahan ini bekerja sendiri seperti menjual kuih-muih, ikan, ayam dan mengutip serta membeli besi buruk.

"Tindakan mereka ini bagaimanapun mengundang risiko bukan sahaja kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain kerana ada yang ditahan melakukan pengubahsuaian pada kenderaan untuk meletakkan barang," katanya.

Menurutnya, tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

"Saya meminta kerjasama kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing bagi yang tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan.

"Tindakan penguatkuasaan berterusan akan terus dilaksanakan bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.