'Hukuman juga ditingkatkan kalau dulu mungkin RM1 juta...'

Iklan
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Tebrau, Kg Bakar Batu,pada Sabtu. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang telah diluluskan Kabinet dijangka dibentangkan di Parlimen pada November ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pindaan itu meliputi peningkatan hukuman dan kadar denda yang lebih tinggi serta hukuman pemenjaraan bagi kesalahan melibatkan pencemaran sungai.

Iklan
Iklan

"Kita melihat dari sudut perundangan iaitu pindaan undang-undang yang telah diluluskan (Kabinet), insya-ALLAH akan dibawa ke Parlimen hujung tahun, sesi dalam bulan November.

"Kita akan memperincikan supaya ada kejelasan dan dari situ kita akan tutup kelopongan dari segi perundangan supaya lebih jelas untuk ambil tindakan nanti untuk sabit kesalahan menyebabkan pencemaran itu.

Iklan

"...hukuman juga ditingkatkan kalau dulu mungkin RM1 juta, hingga maksimum boleh naik ke RM10 juta malah boleh dipenjarakan, itu pindaan kita akan buat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu di sini pada Sabtu.

Iklan

Fadillah berkata, selain daripada aspek pemindaan akta, perkara utama yang penting dan perlu diberi keutamaan dalam penjagaan sungai ialah pencegahan bagi mengelakkan pencemaran sungai di negara ini.

"Pertama saya melihat pencegahan lebih penting. Memberi kesedaran tentang kepentingan sungai melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat untuk memelihara sungai kita.

"Persekutuan dan negeri kena sama-sama ambil tindakan termasuk terhadap kilang tepi sungai.

Kalau boleh, dipindahkan, kalau tidak boleh dipindahkan, kita kena pastikan teknologi supaya bahan terkawal dibuang ke tempat sepatutnya dan elak daripada dibuang dan dilepas terus ke sungai,” katanya.

Pada awal bulan ini, beberapa siri pencemaran bau yang dipercayai akibat sisa kimia dibuang ke dalam sungai berlaku di Johor Bahru, melibatkan beberapa kawasan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Johor Ling Tian Soon berkata, kerja pembersihan sisa bahan terjadual itu, akan dibuat di dua lokasi punca pencemaran iaitu di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika. - Bernama