PETALING JAYA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Armada bagi Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2024.
Muhammad Hilman berkata, Pemilihan Bersatu akan menjadi pentas untuk memperkukuh parti dan menyediakan saf kepimpinan terbaik untuk persiapan menang pilihan raya.
Menurutnya, bagi tujuan itu, perjuangan pemuda mesti dipacu kepimpinan yang kuat serta mempunyai matlamat dan hala tuju jelas.
"Menyedari realiti dan pandangan akar umbi yang menuntut Armada Bersatu bangkit sebagai pasukan lebih kuat dinamik dan progresif, saya dengan dengan penuh rasa tawaduk dan bertanggungjawab,menawarkan komitmen sebagai Calon Ketua Armada Nasional," katanya pada sidang akhbar di Hotel Armada di sini pada Sabtu.
Muhammad Hilman selesai menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya sekitar jam 9 pagi.
Proses pendaftaran pencalonan telah bermula hari ini sehingga 5 petang.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemilihan kali ini amat signifikan kerana buat julung kali akan disertai oleh ahli-ahli yang tampil daripada pelbagai latar politik.
"Saya yakin, pemilihan ini akan berlangsung dengan penuh semangat kekeluargaan dalam suasana yang harmoni.
"Sesungguhnya, demokrasi yang subur dalam parti akan menjamin masa depan Bersatu sebagai wadah politik unggul, wibawa dan kekal menjadi pilihan rakyat," katanya.
Katanya, pihaknya dimaklumkan setakat ini seramai dua pencalonan telah dihantar bagi jawatan Ketua Armada Bersatu.
Bagaimanapun katanya, senarai calon akhir yang layak bertanding hanya akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti nanti.
Pada program sama, beliau turut mengumumkan barisan 14 calon yang akan bertanding beberapa jawatan lain bagi sayap itu.
Antaranya Muhamad Amerul Muhamad bagi Pengerusi Tetap, Muhammad Syamel Md Riduan Timbalan Pengerusi dan Izhar Shah Arif Shah sebagai Naib Ketua Armada.
Sebanyak 11 nama bagi pencalonan ahli jawatankuasa antaranya Muhammad Haris Idaham Abdul Rashid, Che Wan Farid Che Wan Abd Rahman dan Muhammad Airil Fitri Jalalludin.
10 September lalu, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu sebaliknya bakal merebut jawatan di peringkat tertinggi parti.
Keputusan itu diambil selepas dia melepasi had usia untuk terus memegang jawatan dalam Armada Bersatu.