Bandar Country Homes Rawang disyaki 'markas' ekonomi GISBH

Iklan
Antara rangkaian perniagaan GISBH di pusat perniagaan di Bandar Country Homes, Rawang, di sini.

GOMBAK - Syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) disyaki membangunkan aktiviti ekonomi di pusat perniagaan di Bandar Country Homes, Rawang, sejak 11 tahun lalu.

Aktiviti perniagaan di pusat perniagaan sekitar Bandar Country Homes itu turut menempatkan ibu pejabat GISBH itu merangkumi pelbagai bidang perniagaan dan dibangunkan secara berperingkat berdasarkan peruntukan yang ada.

Iklan
Iklan

Antara bidang perniagaan yang dijalankan GISBH di lokasi berkenaan adalah kedai dobi, kedai pencetakan, hotel, klinik bersalin dan pergigian, pusat rawatan kecantikan termasuk salon, restoran, bengkel baik pulih kenderaan, kedai pakaian terpakai (bundle), pusat pengurusan dan operasi media, kedai bakeri serta pasar raya.

Malah, GISBH turut mengambil kesempatan menggunakan kawasan padang awam yang diubahsuai menjadi trek ekuestrian kuda dilengkapi enam ekor kuda termasuk dua kuda padi.

Iklan

Selain itu, terdapat enam blok kandang kuda, sangkar burung merak dan kafe yang turut didirikan secara salah dan tidak mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Zainal, 50-an mendakwa, pimpinan GISBH mempunyai hubungan baik dengan pengurusan lima masjid di Bandar Country Homes, namun tidak pernah melihat ahli atau pengikutnya solat berjemaah bersama penduduk.

Iklan

"Mereka (pemimpin GISBH) sentiasa membantu dan bekerjasama dengan pengurusan masjid di kawasan ini termasuk memberikan sumbangan untuk penganjuran acara-acara tertentu, selain menganjurkan Majlis Rumah Terbuka berskala besar pada setiap Aidilfitri.

"Golongan anak muda pengikut GISBH ini tidak pernah dilihat bersama-sama bersolat di Masjid terutama ketika solat Jumaat," katanya.

Zainal berkata, sebelum ini pengikut GISBH boleh dikatakan ramah terhadap masyarakat setempat.

"Sikap ahli GISBH sedikit berubah pada masa ini kerana mereka hanya bergaul atau rapat sesama komuniti mereka sahaja," katanya.

Zainal juga tidak menafikan kemungkinan setiap ahli GISBH merasakan diri mereka lebih istimewa berbanding masyarakat yang bukan ahli kumpulan itu.

"Saya berharap supaya pihak berkuasa mempertingkatkan lagi pemantauan di kawasan berkenaan bagi memastikan saki-baki pengikut GISBH dapat dikesan," katanya.

Serbuan Op Global ke atas pusat perniagaan berkenaan dilakukan oleh 50 pegawai dan 200 anggota Polis Kontinjen Selangor bersama Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), dibantu MPS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) jam 6.30 pagi.

Dalam operasi berkenaan hampir keseluruhan kawasan Jalan Desa, ditutup sehingga jam 10 pagi tadi, bagi membolehkan pihak polis melakukan pemeriksaan.

Puluhan pengikut termasuk kanak-kanak, remaja, wanita dewasa kemudian dibawa menaiki van polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, untuk proses dokumentasi diri.

Pihak MPS turut merobohkan beberapa struktur haram termasuk menyita premis perniagaan GISBH yang tidak berlesen.