SERDANG - Minat memancing membawa tuah kepada tiga sekeluarga apabila mereka diumum pemenang pertandingan memancing 'Fun Fishing' sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan 2024 (MAHA 2024).
Siew Kam You, 82; Siew Yew Choe, 53 dan Siew Choon Hong, 24, diumum sebagai pemenang masing-masing tempat ke-10, lapan dan empat.
Menurut Choon Hong, minat memancing yang diterap oleh datuknya itu menjadi aktiviti keluarga sejak lebih 20 tahun lalu.
"Kami tiga keturunan menjadikan memancing sebagai aktiviti keluarga yang dilakukan pada setiap hujung minggu.
"Ini merupakan pertandingan memancing kali ke tigakami sertai sempena MAHA, dan pada MAHA edisi lepas, saya merupakan juara," katanya ketuka ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing MAHA 2024 di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar manakala majlis penyampaian hadiah oleh Pengerusi Jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.
Pertandingan yang dianjurkan pertubuhan itu memasuki edisi ke-4 sejak NAFAS Cube dibangunkan dalam kawasan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor.
Pada pertandingan yang bermula jam 7 pagi itu, seramai 120 peserta telah mengambil bahagian dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,000 dan 15 hadiah saguhati.
Sementara itu, Mohd Helmi Hasbulla, 22, dari Kajang diumum sebagai juara pertandingan dengan hasil tangkapan ikan patin seberat 950 gram (gm) dalam tempoh empat jam.
Pekerja swasta itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta hamper.
"Ini kali kedua saya sertai pertandingan memancing anjuran MAHA dan Alhamdulillah, kali ini diumum juara.
"Kali pertama juga saya menang bagi kategori ikan patin, rasa gembira dan terharu.
"Diharapkan NAFAS akan teruskan pertandingan seperti ini pada masa akan datang," katanya.