SARAWAK sudah bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024 bermula esok hingga Sabtu depan di sini.
Bercakap kepada Bernama menjelang upacara perasmian esok, Ketua Pegawai Eksekutif Para Sukma Sarawak, Datuk Hii Chang Kee berkata, sebanyak 27 jawatankuasa yang terlibat sudah 100 peratus bersedia untuk menghadapi temasya berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk menerima lebih 1,200 atlet orang kurang upaya (OKU), 50 atlet sokongan dan 719 pegawai mewakili 15 kontinjen dari seluruh negara pada temasya berkenaan.
"Persiapan untuk Para Sukma telah pun dibuat secara serentak dengan Sukma (yang telah diadakan dari 17-24 Ogos). Kita dah bersedia dengan persiapan dari segi logistik seperti venue, tempat tinggal, makanan serta kemudahan seperti tandas yang mesra OKU.
"Kita juga mempunyai lebih 700 sukarelawan dengan majoritinya mempunyai pengalaman semasa Sukma untuk membantu dari segi penganjuran. Kita bertekad untuk menjadi hos Para Sukma terbaik,” katanya.
Selepas mendapat pujian daripada pelbagai pihak untuk penganjuran Sukma bulan lepas, Chang Kee berkata, walaupun jumlah atlet dan pegawai bagi Para Sukma lebih rendah berbanding 12,000 orang ketika itu, pihak penganjur menghadapi cabaran berlainan bagi memastikan semua kemudahan mesra OKU dan sesuai untuk mereka.
Chang Kee berkata, antaranya dari segi persediaan venue pertandingan, penginapan dan tandas yang mempunyai laluan kerusi roda selain mendapatkan bantuan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) yang menghantar 25 bas mesra OKU ke Kuching.
"Kita dah bersedia dengan mengambil kira semua cabaran lain untuk memastikan mereka menerima perkhidmatan terbaik, kita mahu menjadi tuan rumah yang penyayang,” katanya sambil menambah kontinjen yang mula tiba sejak Khamis ditempatkan di 19 hotel sekitar Kuching.
Chang Kee turut menjanjikan elemen kejutan sempena perasmian di Stadium Perpaduan yang bakal dihadiri oleh 3,000 orang, selain turut disiarkan secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Sarawak (TVS), aplikasi Para Sukma dan media sosial.
Sementara itu, beliau turut menyeru semua rakyat Malaysia agar menyokong atlet para Sukma sama ada dengan hadir ke venue pertandingan atau menontonnya di televisyen atau secara atas talian.
Sebanyak 328 pingat emas daripada 10 jenis sukan iaitu olahraga, powerlifting, badminton, renang, ping pong, boling padang, memanah, boccia, tenpin boling dan catur dipertandingkan pada kali ini. - Bernama