SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd (AAGB), Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tony Fernandes mendakwa bahawa Serious Fraud Office (SFO) di United Kingdom tidak pernah menghubungi AirAsia berhubung siasatan skandal Airbus yang dijalankan selama empat tahun untuk mendapatkan sebarang penjelasan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Kamarudin dan Fernandes menyifatkan tindakan tersebut adalah satu pelanggaran yang jelas terhadap prinsip undang-undang asas kesaksamaan serta akses kepada keadilan.
"Kami secara mutlak menafikan semua dakwaan salah laku daripada pihak kami sebagai eksekutif dan pengarah AirAsia," katanya.
Semalam, Kamarudin dan Fernandes melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam kumpulan berkenaan berkuat kuasa serta-merta berikutan dakwaan siasatan rasuah Airbus.
Menurut kenyataan tersebut, Caterham F1, syarikat yang dikatakan mendapat tajaan secara tidak telus oleh Airbus pada masa itu adalah pasukan Formula 1 yang mengelilingi dunia dan mempromosikan pelbagai syarikat seperti AirAsia, AirAsia X, GE dan Airbus.
Katanya, sebagai pemegang saham Caterham sepanjang tempoh berkenaan, syarikat itu tidak mencatatkan keuntungan sebelum dijual pada harga 1 pound Britain pada 2014 kerana dari awal hingga pengakhirannya, ia satu penjenamaan dan bukan usaha sama untuk menjana keuntungan.
"Justeru, bagi membantu siasatan penuh dan bebas oleh AirAsia, kami melepaskan jawatan eksekutif kami dengan serta-merta untuk tempoh dua bulan atau jangka masa tertentu mengikut penilaian Ahli Lembaga AirAsia berdasarkan keadaan semasa.
"Begitupun, atas permintaan Ahli Lembaga AirAsia, kami juga bersetuju untuk terus membantu AirAsia sebagai penasihat apabila diperlukan," menurut kenyataan itu lagi.
Kamarudin dan Tony turut mengalu-alukan siasatan oleh pihak berkuasa dan menegaskan, ia adalah satu-satunya cara mereka boleh mendapat keadilan yang dinafikan oleh proses SFO.
ARTIKEL BERKAITAN Kamarudin, Tony Fernandes lepas jawatan eksekutif dalam AirAsia