Wellness #QuranHour mengQurankan kesihatan

Iklan
Program Wellness #QuranHour bertemakan ‘Amalan Sunnah: Cegah Penyakit Kronik’ di Masjid Darul Ehsan, di Subang Jaya pada Sabtu.

SUBANG JAYA - Program Wellness #QuranHour menggabungkan ilmu perubatan moden dan hikmah kitab suci serta sunah bagi mengQurankan kesejahteraan kesihatan dalam kehidupan seharian khususnya untuk mencegah penyakit kronik.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program kerjasama pakar dan pengamal kesihatan itu berpandukan nilai halalan tayyiban dan amalan sunah sebagai panduan dalam membentuk kerangka pemikiran masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat berlandaskan al-Quran.

Iklan
Iklan

"Komitmen kami dalam membumikan ayat-ayat al-Quran melalui baca, faham dan amal ini.

"Wellness #QuranHour mengajak lebih ramai pakar dan pengamal kesihatan untuk bergabung dalam usaha merujuk kepada al-Quran dan sunah dalam kajian kesejahteraan, demi membentuk warga yang kuat fizikal, minda serta jiwa.

Iklan

"Sebagai langkah permulaan, program ini memberi fokus kepada kesedaran pemakanan kepada masyarakat.

"Inisiatif 'reset' pemakanan juga diterap bagi mendidik orang ramai tentang amalan sunah dalam pemakanan yang diamalkan Baginda Rasulullah SAW termasuk dari segi nutrisi dan waktu makan," katanya kepada Sinar Harian selepas program Wellness #QuranHour bertemakan ‘Amalan Sunnah: Cegah Penyakit Kronik’ di Masjid Darul Ehsan di sini pada Sabtu.

Lebih 100 tetamu yang hadir pada program Wellness #QuranHour bertemakan ‘Amalan Sunnah: Cegah Penyakit Kronik’ di Masjid Darul Ehsan, di Subang Jaya pada Sabtu.

Iklan

Program yang bermula dari jam 9.30 pagi hingga 11 pagi itu turut diberi pengisian dengan bacaan ayat al-Quran dan surah pilihan yang dibimbing oleh Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.

Ia diselang-selikan dengan sesi tadabbur yang disampaikan oleh Ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Ustaz Safri Muhammad Zein, manakala Ketua Pegawai Penyelidik WUIF merangkap Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail sebagai moderator.

Lebih 100 tetamu yang hadir pada program Wellness #QuranHour bertemakan ‘Amalan Sunnah: Cegah Penyakit Kronik’ di Masjid Darul Ehsan, di Subang Jaya pada Sabtu.

Wellness #QuranHour merupakan anjuran WUIF bersama Neo Medicare, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Masjid Darul Ehsan, Karya Bestari dan Sinar Karangkraf.

Tambah Marhaini, kajian terhadap ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan kesihatan bukan sahaja meliputi aspek rohani, tetapi juga pemakanan sihat seperti dianjurkan dalam al-Quran.

"Banyak ayat al-Quran yang memberikan solusi kepada isu kesihatan dan ia dilihat potensi besar dalam menggabungkan ilmu perubatan moden dengan ajaran Quran dan sunah.

"Pengalaman peribadi berjumpa dengan pesakit yang hilang harapan mendorong saya untuk membawa mesej mengenai kesedaran kesihatan fizikal dan membina kerangka fikir manusia kepada halalan tayyiban dan gaya hidup sunah ke dalam masyarakat," katanya.

Dari kiri; Marhaini, Ab Aziz dan Ustaz Safri.

Dalam pada itu, Pengasas dan Pengarah Perubatan Neo Medicare, Profesor Dr Ab Aziz Al-Safi Ismail berkongsi, isu kesihatan menjadi keprihatinan dalam Islam kerana ia berkait rapat dengan perihal ibadah kepada Maha Pencipta.

Ujarnya, dalam ayat kedua surah al-Jumu'ah, Rasulullah SAW diutuskan untuk melakukan tilawah ayat-ayat ALLAH, tazkiyah (pembersihan) dan mengajar al-Kitab serta al-Hikmah (kebijaksanaan atau sunnah) dalam kehidupan menuju kepada-Nya.

"Al-Hikmah itu mempunyai hubung kait dengan amalan-amalan kesihatan yang ditunjukkan Rasulullah SAW.

"Dalam sebuah hadis, Baginda SAW bersabda:"Kesembuhan ada pada tiga perkara: berbekam, minum madu atau selaran besi panas. Aku melarang umatku daripada selaran besi panas." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

"Maksudnya, kalau hendak sembuh, dua perkara ini jangan ditinggalkan iaitu berbekam dan minum madu sebagaimana amalan yang diajar oleh Baginda.

"Bagi saya, pendekatan terbaik adalah menggabungkan perubatan moden dengan amalan pemakanan itu," katanya.

Melihat kepada pemakanan Rasulullah SAW, ujar Ab Aziz, antara kegemaran Baginda adalah mengambil roti yang diperbuat daripada barli.

Jelas beliau yang berpengalaman bertugas di fasiliti kesihatan di United Kingdom dan India itu, barli mempunyai indeks glisemik (kaedah mengukur makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan glukosa darah) paling rendah, selain kaya dengan serat dan vitamin tinggi.

"Bahkan, Baginda juga mengajar anak Adam supaya makan dengan beberapa kadar suapan untuk menegakkan tulang sulbi (tulang belakang bahagian bawah) dengan satu pertiga masing-masing bagi makanan, minuman dan bernafas.

"Malangnya pada hari ini, kita tidak amalkan begitu. Sebab itulah kita tengok penyakit kronik semakin meningkat," tuturnya.

Dr Ab Aziz turut menekankan tentang pemakanan yang baik perlu diamalkan oleh masyarakat, selain dari segi halalnya.

Menurut beliau, baik yang dimaksudkan adalah dari segi kandungan seperti contoh, pada hari ini gaya hidup kita sudah berubah dan kerana hendak cepat, ramai pilih makanan segera seperti burger, sosej serta sebagainya sedangkan ia tidak bagus.

"Ini kerana daging digunakan mungkin dari kualiti tidak bagus, disimpan lama, guna pengawet dan pewarna untuk menampakkan kesegarannya. Itulah yang dimaksudkan dengan tayyiban (baik).

"Begitu juga dengan yang import, makanan proses lain, makanan dalam tin dan seumpamanya yang banyak bahan pengawet, pemanis dan pewarna. Ketiga-tiga bahan ini antara faktor menyebabkan kanser meningkat dan penyakit kronik yang disebut tadi," katanya.

Sementara itu, Ustaz Safri pula berkata, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan dan memastikan ia memenuhi kriteria halal serta seimbang dari segi nutrisi.

Ujarnya, masyarakat patut mengutamakan makanan segar dan semula jadi serta menghindari makanan yang diproses.

"Dengan kesedaran dan usaha bersama, diharapkan umat Islam dapat menjaga kesihatan dan terhindar daripada gangguan syaitan dalam aspek pemakanan. Syaitan berusaha menggoda umat Islam untuk mengambil makanan tidak sihat yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

"Syaitan berupaya menghalang kita daripada memilih makanan yang halal dan baik untuk kesihatan. Ini termasuklah dorongan untuk mengambil makanan berlemak, bergula tinggi dan tidak berkhasiat.

"Hal ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes dan masalah jantung," katanya.