UTM sedia pelbagai inisiatif bantu pelajar kurang mampu

Iklan
UTM akan membantu pelajar baharu yang kurang berkemampuan dalam proses pendaftaran masuk ke universiti berkenaan bermula pada 28 September ini.

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersedia membantu pelajar baharu yang kurang berkemampuan dalam proses pendaftaran masuk ke universiti berkenaan bermula pada 28 September ini.

Menurut Naib Canselor UTM, Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, selain bantuan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelbagai inisiatif lain disediakan bagi kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Iklan
Iklan

"Seramai anggaran 3,508 pelajar baharu akan mendaftar masuk ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa untuk sesi akademik 2024/2025 yang bermula pada 28 September 2024.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 3,289 pelajar akan mendaftar di kampus UTM Johor Bahru manakala 219 pelajar lagi di kampus UTM Kuala Lumpur.

Iklan

"Berdasarkan unjuran daripada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar IPTA (BPKP IPTA) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), seramai 1,160 pelajar baharu yang akan memasuki UTM bagi sesi akademik 2024/2025 adalah daripada keluarga B40," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu Ahmad Fauzi berkata, UTM menyambut baik hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk pihak pentadbir universiti membantu pelajar baharu yang kurang berkemampuan dalam proses pendaftaran masuk ke universiti.

Iklan

Jelas beliau, UTM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pelajar yang layak secara akademik dapat mengakses pendidikan tinggi.

"Melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), pelbagai skim bantuan kewangan dan kebajikan telah disediakan, termasuk bantuan sara hidup serta bantuan zakat untuk pelajar yang layak.

"Selain itu, UTM juga aktif dalam aktiviti pendanaan melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dengan menyediakan bantuan kewangan menerusi pelbagai tabung Endowmen, Biasiswa dan Wakaf yang terdapat di universiti," katanya.

Pada Jumaat, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan mahasiswa yang tidak berkemampuan berkenaan.