SHAH ALAM - Pegawai penguat kuasa jabatan kerajaan perlu menjalani latihan integriti dengan lebih kerap sebagai usaha memupuk nilai akauntabiliti, jujur dan amanah ketika menjalankan tugas.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya percaya ia antara langkah penting untuk dilaksanakan kerana tanpa pendidikan berterusan mengenai kepentingan integriti, budaya rasuah sukar dihapuskan.
"Pegawai penguat kuasa juga perlu dipantau secara berkala termasuk penggunaan teknologi seperti kamera badan dan sistem biometrik untuk mengelakkan sebarang penyelewengan semasa bertugas.
"Selain itu, hukuman berat wajib dikenakan terhadap pesalah rasuah seperti penjara lebih lama dan pelucutan jawatan atau harta yang diperolehi melalui rasuah.
"Sistem pelaporan yang selamat dan berkesan juga perlu diwujudkan bagi membolehkan pegawai atau orang awam mengadu sebarang salah laku tanpa takut dikenakan tindakan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar ‘kemewahan’ dua pegawai rendah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) gred KP22 dan KP19 selepas menemui hampir RM800,000 wang tunai di kediaman suspek yang disyaki hasil aktiviti 'counter setting'.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, serbuan yang dilakukan di Pahang dan Melaka itu adalah siasatan susulan berhubung penglibatan pegawai penguatkuasa dalam sindiket membawa warga asing ke negara ini melalui saluran tidak sah.
Mengulas lanjut, Jais berpandangan, isu integriti melibatkan penguatkuasa imigresen amat serius kerana penemuan sejumlah wang terbabit jelas menunjukkan betapa parahnya budaya rasuah dalam kalangan penjawat awam.
Justeru, menurut beliau, jabatan berkenaan perlu memperkenalkan reformasi menyeluruh dalam sistem kawalan dalaman termasuk audit berkala oleh pihak bebas untuk mengesan kelemahan serta penstrukturan semula bagi meningkatkan keberkesanan.
"Usaha membanteras rasuah memerlukan komitmen semua pihak tidak kira daripada pegawai penguatkuasa hingga pihak atasan.
"MCW akan terus menyokong usaha reformasi yang mampu meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai penguatkuasa di negara ini," ujarnya.