Mpox: KKM pertingkat saringan di semua pintu masuk sempadan negara

Iklan
Lukanisman Awang Sauni berbual bersama para peniaga pada Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Laman Siti Khadijah hari ini. - Foto: Bernama

KOTA BHARU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkatkan kawalan saringan setiap individu di semua pintu masuk sempadan negara bagi mengekang penularan mpox atau cacar monyet.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, usaha berkenaan digiatkan berikutan satu kes melibatkan seorang lelaki dikenal pasti dijangkiti mpox.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, saringan dilakukan mengikut prosedur termasuk memeriksa suhu badan dan mereka yang disyaki mengalami simptom mpox akan dibawa untuk menjalani saringan serta pemeriksaan selanjutnya.

"Setakat ini jangkitan berkenaan masih terkawal dan belum menjadi satu wabak besar, namun KKM memberikan perhatian terutamanya golongan berisiko," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap Peringkat Negeri Kelantan di Laman Siti Khadijah, Jalan Buluh Kubu di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, KKM telah memberi garis panduan cara mpox boleh menjangkiti kumpulan berisiko jika ada simptom.

"KKM bersedia menghadapi masalah mpox ini dan kita juga sudah memaklumkan kepada semua klinik kesihatan di seluruh negara," katanya.

Iklan

Beliau meminta masyarakat agar berwaspada memandangkan mpox datang dari luar negara akibat aktiviti berisiko atau bersosial dengan kumpulan melakukan aktiviti kurang sihat atau mereka yang sudah dijangkiti.

Sementara itu, Lukanisman berkata, KKM menjangkakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) akan dikuatkuasakan bermula Okt ini sebaik saja peraturan dan perintah berkaitan (akta) diwartakan.

"Kita telah menguatkuasakan Akta 852 yang terbaru dan sedang menunggu Pejabat Peguam Negara (AGC) memberi maklum balas berhubung perkara ini. Kami jangka undang-undang ini akan mendapat maklum balas pada Oktober ini dan penguatkuasaannya dapat dilaksanakan segera," katanya. - Bernama