Banci pertanian capai 86.2 peratus - Mohd Uzir

Iklan
Mohd Uzir pada sidang akhbar di Pertubuhan Global Goodway (M) Sdn Bhd, di Sungai Nipah Farm pada Sabtu.

SABAK BERNAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan status kemajuan operasi banci pertanian di negara ini telah mencapai 86.2 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, rekod yang diperoleh sehingga Jumaat lalu itu menunjukkan 1.02 daripada 1.18 juta tempat kediaman telah dilawati bagi tujuan bancian berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sejumlah 16,920 daripada 19,753 atau 85.7 peratus syarikat pertanian pula telah dilawati.

"Operasi banci pertanian di Selangor pula mencapai tahap 83.4 peratus daripada 67,727 tempah kediaman dan 2,071 pertubuhan yang berpotensi menjalankan pertanian dengan sebanyak 56,197 tempat kediaman pertanian (83.0 peratus) dan 1,659 pertubuhan pertanian (80.1 peratus) telah dilawati," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Pertubuhan Global Goodway (M) Sdn Bhd di Sungai Nipah Farm di sini pada Sabtu.

Mohd Uzir memberitahu, pencapaian paling tinggi di Selangor disumbangkan oleh daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Mohd Uzir melihat proses membawa naik udang harimau di Pertubuhan Global Goodway (M) Sdn Bhd, di Sungai Nipah Farm pada Sabtu.

Iklan

Beliau memberitahu, banci pertanian yang memasuki hari ke-77 sejak dilancarkan pada 7 Julai lalu dan tinggal berbaki 18 hari lagi sebelum berakhirnya tempoh operasi banci.

"Tempoh sebelum berakhir bancian ini sangat signifikan untuk melengkapkan proses pengumpulan data di peringkat huluan merangkumi sektor tanaman, ternakan, perikanan tangkapan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan," tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya, banci pertanian menyediakan data asas tentang profil pegangan pertanian seperti maklumat demografi, hasil pertanian, kos input, saiz ladang, penggunaan dan pemilikan tanah, mekanisasi serta penggunaan teknologi.

Kata beliau, secara ringkasnya, statistik pertanian dapat digunakan untuk merangka dasar dan program jangka pendek serta jangka panjang serta untuk meningkatkan keterjaminan makanan, produktiviti serta mempromosikan pertanian mampan.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir memberitahu, pencapaian bancian ini dapat dilaksanakan hasil kerjasama dan komitmen penuh daripada semua pihak terutama pengusaha dan agensi tempatan.

Jelas beliau, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan seperti memberi penerangan kepada masyarakat, sesi engagement dengan pemimpin dan agensi tempatan serta meneruskan pengumpulan data pertanian terperinci supaya tiada pengusaha tertinggal dalam liputan banci pertanian ini.

Justeru, katanya, pengusaha dan pertubuhan yang terlibat dalam aktiviti pertanian dari semua peringkat diminta memberikan maklumat tepat dan lengkap kepada petugas banci pertanian.

"Dapatan banci Pertanian yang tepat dan lengkap dapat menyediakan statistik pertanian real time, komprehensif dan berguna kepada masyarakat semua pihak," kata beliau.