KPDN kenal pasti 38 stesen minyak dengan kadar jualan luar biasa

Iklan
Armizan menunjukkan harga gula pada program jelajah Karnival KPDN 2024 di Metrocity hari ini. - Foto: Bernama -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA.

KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti 38 buah stesen minyak di seluruh negara, yang mencatatkan rekod penjualan minyak diesel serta RON95 secara tinggi dan luar biasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak tujuh stesen minyak tersebut berada di Sabah dan tujuh lagi di Sarawak.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha pemantauan kadar jualan diesel dan RON95 di stesen minyak itu, dilaksanakan dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi.

"Kita (KPDN) akan meneliti semua rekod jualan mereka dan akan membuat pemantauan sekiranya terdapat unsur-unsur pembelian untuk tujuan penyelewengan.

Iklan

"Kebanyakan stesen minyak (yang mencatat jualan luar biasa) ini juga berada di daerah yang bersempadan dengan negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Karnival KPDN 2024 peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Armizan berkata, pengusaha stesen minyak juga memainkan peranan besar dalam usaha membanteras penyelewengan bahan api bersubsidi.

Iklan

"Kita harap pengusaha stesen minyak jangan beri alasan mereka tidak ada tanggungjawab dalam membanteras dan mereka cuma menjual...kepada siapa yang dijual mereka lepas tangan,” katanya.

Sementara itu, KPDN menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan menerusi Ops Tiris 3.0 yang dilancarkan sejak 1 Januari tahun ini hingga 19 September, sebanyak 31,762 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara.

Kenyataan itu memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 2,121 kes telah dihasilkan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM81.4 juta.

"Seramai 531 individu telah ditangkap dalam tempoh yang sama,” menurut kenyataan itu. - Bernama