Pulang dari bercuti, air pasang faktor mangsa banjir tinggi di Kedah

Iklan
Aminurrahim (dua dari kanan) semasa meninjau kawasan banjir di Kampung Chegar, Anak Bukit, Alor Setar pada Sabtu.

ALOR SETAR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati penduduk baru pulang dari bercuti dan fenomena air pasang menjadi antara faktor menyumbang kepada jumlah mangsa banjir tinggi di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed menjelaskan, negeri ini antara paling teruk dilanda banjir dengan jumlah mangsa yang tinggi hampir 8,000 orang setakat jam 5 petang pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah tersebut dilihat semakin bertambah terutamanya di daerah Alor Setar walaupun hujan sudah berkurangan.

"Situasi kali ini sedikit berbeza berbanding sebelum ini kemungkinan disebabkan oleh penduduk yang baharu pulang ke rumah selepas bercuti sempena musim cuti sekolah.

Iklan

"Apabila pulang, mereka mendapati rumah turut dinaiki air dan sebab itu mereka pergi berdaftar di PPS yang telah dibuka. Sebab itu peningkatan jumlah mangsa banjir agak ketara," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas meninjau kawasan banjir di Kampung Chegar, Anak Bukit, dekat sini.

Iklan

Aminurrahim berkata, fenomena air pasang yang lebih tinggi turut menjadi faktor kepada bencana banjir di Kedah sejak Isnin lalu.

Menurutnya, banjir temenung yang berlaku menyebabkan air lambat surut dan mangsa tidak dapat pulang ke rumah masing-masing.

"Tetapi, saya melihat situasi semasa nampak semakin baik dan ada penduduk yang ditemui memaklumkan bahawa paras air mula menurun," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, APM juga sentiasa bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun yang dijangka bermula pada Selasa ini dan berterusan hingga awal November depan.

Menurutnya, pihaknya telah meninjau kawasan-kawasan yang berisiko terutamanya di kawasan panas dan menasihati penduduk dan orang ramai agar membaiki mana-mana struktur yang tidak kukuh.

"Kalau dilihat jumlah pokok tumbang di Kedah menunjukkan peningkatan di mana bagi bulan September, jumlah setakat ini adalah sebanyak 1,930 berbanding 1,047 pada bulan Ogos dan 1,053 pada bulan Julai.

"Kita faham, apabila berlaku peralihan monsun ini, akan ada angin yang kuat dan ia boleh menjejaskan struktur-struktur yang lemah termasuk pokok-pokok yang tanahnya sudah longgar, tidak lagi kuat dan boleh menyebabkan ia tumbang," katanya.