JAIS bentang laporan penuh GISBH minggu depan - Exco

Iklan
Mohammad Fahmi (kiri), Sultan Selangor bertitah berkaitan isu GISBH di Selangor.

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menjunjung titah penegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang meminta agensi agama dan polis mengambil tindakan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, ketika ini agensi agama negeri dan penguatkuasaan peringkat Pusat menjalin bekerjasama erat dalam menjalankan siasatan penuh terhadap GISBH.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasukan khas diketuai oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 7,8,10,12,13 dan 106 enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

"JAIS akan membentangkan laporan penuh kepada saya pada minggu hadapan mengenai tindakan yang telah dan akan diambil selaras dengan titah baginda.

Iklan

"Saya juga akan ditaklimatkan tentang langkah semasa JAIS bagi mengekang dan mengambil tindakan undang-undang berkenaan.

"Ia termasuklah perkara berkaitan sekolah agama dan tahfiz di bawah GISBH di Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mohammad Fahmi berkata, beliau juga akan mendengar taklimat tentang profil 30 rumah amal di bawah GISBH di Selangor termasuk dakwaan berlaku pelantikan ahli jawatan kuasa (AJK) masjid daripada kalangan ahli GISBH di sebuah masjid Rawang dan isu surau Al Ikhwan.

Tambah beliau, semua pihak diharap dapat saling membantu dan bukan saling menuding jari berdepan situasi semasa.

Katanya, kepercayaan dan sokongan penuh kepada agensi berkuasa negeri Pusat perlu diteruskan demi menjamin kebajikan umat Islam dan kesucian agama Islam.

"Orang awam diseru terus memberikan sebarang maklumat dan tampil ke JAIS untuk membuat aduan segera.

"Terus berwaspada dan berhati-hati dengan penampilan pakaian, kepetahan bersyarah dan penyebaran doktrin atas nama agama kerana jelas terbukti ada kalangan mereka memanfaatkannya untuk kepentingan peribadi dan kelompok tertentu.

"Apa yang kita lihat hari ini melalui laporan-laporan dipaparkan, ia melibatkan suatu penipuan, penindasan, penganiayaan dan perilaku yang sangat menjijikkan dan memalukan," katanya.

Pada Sabtu, Sultan Sharafuddin menitahkan semua agensi mengambil tindakan segera terhadap kegiatan GISBH.

Baginda bertitah, kelewatan menangani isu tersebut menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan hingga menyebabkan masalah menjadi begitu serius dan tidak terkawal.

Baginda tidak mahu pihak berwajib diumpamakan sebagai 'tin kosong' yang hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya.