Agong lawat pusat penyelidikan pesawat COMAC di Beijing

Iklan
Sultan Ibrahim berkenaan mendengar taklimat mengenai inovasi dan perkembangan teknologi penerbangan terkini China. Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
BEIJING - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing (COMAC) bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan terkini China.

Sejurus keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda, yang kini dalam rangka Lawatan Negara pertama ke China, Yang di-Pertuan Agong berkenaan mendengar taklimat mengenai inovasi dalam teknologi penerbangan negara tersebut.

Sultan Ibrahim meluangkan masa lebih sejam di pusat berkenaan dan turut berkesempatan mencuba simulator penerbangan yang disediakan.

Yang di-Pertuan Agong kemudian berangkat ke Lapangan Terbang Beijing Capital bagi meninjau dua pesawat yang dibangunkan COMAC dan meluangkan masa hampir 45 minit meninjau jentera tersebut.

Mengiringi Seri Paduka Baginda, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Seri Paduka Baginda berada di republik itu atas jemputan Presiden China Xi Jinping bagi lawatan rasmi yang berlangsung dari 19 hingga 22 September ini dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air esok.

Lawatan Negara tersebut mencerminkan keutuhan hubungan dua hala Malaysia dan China, yang semakin pesat berkembang sejak dinaik taraf kepada status Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013. Ia juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Lawatan rasmi Yang di-Pertuan Agong itu merupakan yang pertama ke China dalam tempoh 10 tahun, menandakan satu detik bersejarah bagi hubungan Malaysia-China yang kini mencapai usia setengah abad. - Bernama