19 premis GISBH di Melaka diserbu, 11 ditahan disyaki amal ajaran Al-Arqam

Iklan
Sebahagian penguat kuasa JAIM menyerbu premis perniagaan GISBH di Krubong Perdana pada Sabtu.

MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menggempur 19 premis dan menyita sebanyak 285 barangan berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dalam beberapa serbuan Op Global di sekitar negeri ini di sini pada Sabtu.

Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, antara barangan yang dirampas dalam operasi seawal jam 5 pagi itu termasuk 12 keping gambar Ashaari Muhammad, 138 buah buku-buku berkaitan Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka.

Rahmad (tengah) memberi taklimat kepada penguat kuasa ketika serbuan itu dilakukan di beberapa lokasi di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, turut disita satu keping jadual Zikir Aurad Muhammadiyah, sebuah diari catatan tentang ajaran Al-Arqam, 33 Unit Cakera Padat Video (VCD) berkaitan ajaran Al-Arqam serta tujuh buah telefon bimbit.

Katanya, selain itu JAIM juga merampas sebuah komputer riba, dua buah set komputer, sebuah external hardisk, sebuah peralatan jalur lebar dan 87 unit barang-barang lain termasuk satu serban Al-Arqam.

Iklan

"Serbuan yang berakhir jam 5 petang ini membabitkan 10 buah premis di daerah Melaka Tengah, lapan buah premis di daerah Alor Gajah dan sebuah premis di daerah Jasin.

"Daripada jumlah itu 14 buah merupakan premis perniagaan, tiga buah rumah persendirian dan dua buah rumah kebajikan di sekitar Melaka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, sepanjang operasi itu seramai 11 orang telah ditahan termasuk tiga lelaki dan lapan wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun.

Rahmad (dua dari kiri) ketika serbuan yang dilakukan di kawasan Taman Krubong Perdana pada Sabtu.

Ujar beliau, kesemua mereka ditahan kerana disyaki masih mengamalkan ajaran Al-Arqam dan memiliki bahan- bahan penerbitan berkaitan dengan ajaran Al-Arqam yang telah diharamkan melalui fatwa yang diwartakan di negeri ini pada Tahun 1994 dan 2006.

"Kesemua mereka yang ditahan akan melalui proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

"Manakala 19 orang kanak-kana yang ditahan akan dibawa ke rumah jagaan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," ujarnya lagi.

Jelasmya, serbuan yang dilakukan JAIM mengikut bidang kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam (Negeri Melaka) 2002.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan polis menyelamatkan seramai 15 lagi kanak-kanak dan menahan enam dewasa termasuk tiga wanita dan seorang lelaki dalam serbuan yang dilakukan di rumah ahli kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Kuala Sungai Baru, pada petang Sabtu.

Serbuan yang dilakukan lebih kurang jam 2 hingga 3 petang itu dipercayai susulan tangkapan ahli kumpulan itu di tiga daerah negeri ini beberapa jam sebelum serbuan kedua.

Difahamkan kesemua kanak-kanak yang diselamatkan dan mereka yang ditahan ditemui dalam tiga premis berbeza termasuk dua rumah dipercayai milik ahli GISBH di Taman Ayer Molek Perdana, Masjid Tanah.