16 sekolah, 500 pelajar terima bantuan pendidikan YBR

Iklan
Sebahagian daripada 500 pelajar yang menerima Bantuan Persekolahan YBR di Kota Damansara.

SHAH ALAM - Sebanyak 16 buah sekolah dan 500 pelajar di Sungai Buloh telah menerima bantuan pendidikan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) bagi meningkatkan mutu pembelajaran sepanjang sesi persekolahan.

Menerusi Program Penyerahan Insentif Pendidikan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu, lima sekolah menengah kebangsaan (SMK) menerima tajaan Tuisyen Rakyat berjumlah RM50,000 manakala 11 sekolah kebangsaan (SK) mendapat sumbangan RM55,000.

Iklan
Iklan

Selain itu, inisiatif berkenaan turut melibatkan pemberian bantuan kepada 500 orang pelajar sekolah berjumlah RM50,000.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, bantuan tersebut diharapkan dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar melalui penganjuran program-program pendidikan.

Iklan

"Saya amat berterima kasih kerana YBR berterusan membantu para pelajar dan sekolah di Sungai Buloh sekali gus secara tidak langsung dapat meringankan sedikit bebanan kewangan yang dialami terutamanya ketua keluarga dalam menyediakan kelengkapan pembelajaran kepada anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ramanan (dua dari kiri), Young Syefura (dua dari kanan), Setiausaha Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Anbumani Balan (kanan) dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani (kiri) bergambar bersama pelajar-pelajar penerima Bantuan Persekolahan YBR di Kota Damansara.

Iklan

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Young Syefura Othman berkata, usaha itu merupakan inisiatif membantu masyarakat terutamanya melibatkan bidang pendidikan dan sebagai strategi yayasan tersebut dalam membangunkan komuniti setempat.

Menurutnya, bantuan tersebut bertujuan membantu sekolah memantapkan lagi tahap pencapaian akademik melalui pelaksanaan program pendidikan dan bantuan tunai kepada pelajar dari kalangan asnaf dan keluarga B40.

Beliau berkata, seramai 24,306 pelajar dan 226 buah sekolah telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan RM2.94 juta sehingga September ini.

"Pemberian bantuan ini dapat membantu ibu bapa dan pihak sekolah menyemai semangat kepada anak-anak di sepanjang sesi persekolahan serta memudahkan pihak sekolah mengendalikan program-program yang dapat memberi input tambahan terhadap prestasi pembelajaran pelajar.

"Bantuan Tuisyen Rakyat yang disalurkan kepada pihak sekolah ini dapat membantu sekolah mengadakan kelas tambahan secara percuma khususnya kepada seluruh pelajar tingkatan 5 sebagai pecutan akhir sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.