PDRM jinakkan Sabah di Selayang

Iklan
Pemain PDRM, Izaaq IzhanYuswaedi (kanan) cuba mengawal bola daripada pemain Sabah pada perlawanan Liga Super di Stadium Selayang. Foto Bernama

PDRM FC kembali memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super apabila menjinakkan Sabah FC, 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Selayang pada Sabtu.

Gol tunggal skuad kendalian P Maniam itu dijelmakan penghujung separuh masa kedua hasil jaringan pemain gantian Ifedayo Olusegun minit ke-80.

Iklan
Iklan

Tiga mata diraih The Cops itu juga menebus kekalahan 1-5 kepada Sri Pahang dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Temerloh pada 15 September lalu.

Pemain PDRM, Hadi Fayyadh Abdul Razak (kiri) diasak pemain Sabah, Muhammad Farhan Roslan pada perlawanan Liga Super di Stadium Selayang. Foto Bernama

Iklan

Kemenangan selepas mengharungi 10 perlawanan itu membolehkan The Cops mengumpul 14 mata - empat menang, dua seri, empat tewas.

Sementara itu, Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee pula terlepas peluang menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dengan kekalahan keempat selepas mengharungi 10 perlawanan dengan mengumpul 14 mata.

Iklan

PDRM selepas ini akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak berdepan Terengganu FC pada 4 Oktober manakala Sabah berdepan Perak FC di Stadium Perak pada 19 Oktober.