Isu GISBH: Titah Sultan Selangor jadi peringatan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.

SHAH ALAM - Isu melibatkan kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya dilihat semakin memuncak apabila pembongkaran dilakukan hampir setiap hari sehingga membuka mata majoriti masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.

Ia turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan kumpulan berkenaan.

Iklan
Iklan

Sultan Sharafuddin bertitah, perkara itu telah berlanjutan bagi tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menanganinya.

Baginda bertitah, kelewatan menangani perkara itu menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH dan rangkaiannya, sehingga menyebabkan perkara tersebut menjadi begitu serius dan tidak terkawal.

Iklan

Teguran daripada titah Sultan Selangor itu menunjukkan ketidakpuasan hati baginda terhadap prestasi dan kecekapan badan penguatkuasaan terutamanya agensi agama dalam menangani isu sebegini.

Titah baginda itu perlu menjadi peringatan kepada seluruh pihak penguatkuasa supaya tidak berlengah dalam soal ini sebaliknya, menjalankan tugas mereka dan memastikan semua yang berkait dengan GISBH ditangkap secepat mungkin.

Iklan

Sudah tentu titah Sultan Sharafuddin akan menjadi pemangkin semangat dan dijangka menggerakkan agensi-agensi agama untuk meletakkan isu ini sebagai keutamaan tugas mereka ketika ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dalam kenyataan pada Sabtu berkata, agensi agama negeri dan penguatkuasaan peringkat pusat menjalin kerjasama erat dalam menjalankan siasatan penuh terhadap GISBH.

Ujarnya, pasukan khas diketuai oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 7,8,10,12,13 dan 106 enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Tambahnya, JAIS akan membentangkan laporan penuh kepada beliau pada minggu hadapan mengenai tindakan yang telah dan akan diambil selaras dengan titah baginda.

Berdasarkan kenyataan tersebut, dijangkakan minggu hadapan pastinya menjadi tarikh penting kepada masyarakat untuk mengetahui perkembangan menyeluruh melibatkan GISBH.

Bukan itu sahaja, mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang akan bersidang pada 24 hingga 26 September ini juga bakal mengangkat topik isu doktrin fahaman GISBH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan pada Sabtu berkata, mesyuarat tersebut dikendalikan oleh Pengerusi MKI, Datuk Dr Nooh Gadot dan dianggotai oleh mufti negeri.

Untuk pengetahuan, Jawatankuasa Khas itu diletakkan di bawah seliaan pejabat menteri yang menjalankan fungsi membantu memberikan sokongan data dan kajian kepada pihak berkuasa termasuk kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI.

Sudah tentu perbincangan tersebut akan memberi input penting dan pastinya ditunggu-tunggu oleh rakyat yang mengikuti isu berkenaan.

Apa yang penting, kerajaan termasuk pihak penguatkuasa dan agensi agama perlu prokaktif dan bertindak tegas bagi memberi mesej jelas kepada rakyat bahawa undang-undang negara tidak sesekali berkompromi dengan aktiviti-aktiviti seperti GISBH ini.