MAIS sumbang RM4.34 juta bantu asnaf riqab

Iklan
Abdul Aziz (tengah) menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penerima.

KLANG – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyumbangkan dana sebanyak RM4.34 juta bagi membantu golongan asnaf riqab di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Riqab Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk mentadbir Rumah Pemulihan Riqab di bawah MAIS.

Iklan
Iklan

"MAIS menyerahkan sumbangan bantuan Geran Sukuan 2019 kepada 18 Rumah Pemulihan Riqab sebanyak RM1.91 juta manakala Geran Tahunan kepada sembilan Rumah Pemulihan Riqab berjumlah RM1.56 juta.

"MAIS juga turut menyerahkan van kepada Rumah Pemulihan Riqab berjumlah RM872,412.

Iklan

"Bantuan ini bertujuan membantu golongan asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan selain pelbagai bantuan lain agar golongan ini dapat kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran dan Sumbangan Van Rumah Pemulihan Al Riqab, di sini, tengah hari tadi.

Iklan

Katanya, golongan riqab ini layak mendapat manfaat wang zakat melalui program pemuliharaan yang dilaksanakan MAIS bersama badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar bagi mendidik dan membimbing mereka menjadi mukmin diredai ALLAH.

"Bantuan keperluan hidup juga turut diberikan kepada golongan ini. Sebagai contoh asnaf riqab diberi bantuan sewa rumah agar mereka boleh berhijrah ke tempat tinggal yang lebih baik serta beristiqamah.

"Selain itu bantuan kewangan bulanan juga diberikan kepada individu yang menjaga mereka supaya individu tersebut dapat memanfaatkan wang itu bagi menggalakkan asnaf riqab menghadiri kelas bimbingan anjuran MAIS.

"Bantuan-bantuan lain seperti modal perniagaan dan perubatan juga diberikan untuk meringankan beban kehidupan mereka,” katanya.

Beliau turut meminta pengusaha Rumah Pemulihan Riqab ini dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam memastikan asnaf terbabit diberi perlindungan sewajarnya.

Antara Rumah Pemulihan Riqab yang menerima sumbangan adalah Hidayah Insani, Rumah Sahabat, Bela Insan dan Sahabat PERKID serta Rumah Penawar Sungai Panjang dan Rumah Solehah.