SHAH ALAM - Berhati-hati apabila memilih kawan. Demikian nasihat daripada seorang peguam terutama kepada golongan belia yang mempunyai kenalan kategori ‘bermasalah’.
Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok, Samry Masri berkata, anak guamnya terpalit dengan kes dadah gara-gara melepak di rumah rakan.
"Ada kes pembelaan di mahkamah hari ini, pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie di akhir pendakwaan.
"Tertuduh dipanggil untuk membela diri dan dalam kes ini, tertuduh iaitu anak guam kami, dia pergi ke rumah kawan untuk melepak.
"Baru lima minit dia (anak guam) berada di tempat tersebut, rumah itu diserbu polis. Dia bersama sahabatnya ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Menurut peguam berkenaan, beliau akan mengemukakan hujah bagi pihak tertuduh untuk membuktikan anak guamnya tidak bersalah di peringkat pembelaan.
Beliau menjelaskan, pihaknya akan mengemukakan fakta ‘versi’ tertuduh tentang bagaimana dan mengapa dia berada di rumah tersebut serta situasi tidak mengetahui kewujudan dadah berkenaan.
"Jadi untuk semua terutamanya adik-adik, kalau kita pergi lepak rumah kawan-kawan, berhati-hatilah. Kenali siapa sahabat kita.
"Kalau kita tahu kawan memang jenis hisap dadah, kemungkinan dia akan memiliki dadah di rumah.
"Kita kena elakkan kemungkinan akan terjebak sama sebab kita berada di satu tempat bahan dadah ditemui,” ujarnya.
Dalam pada itu Samry turut mengingatkan hukuman untuk kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya boleh mati mandatori atau dipenjara untuk tempoh yang lama jika sabit kesalahan.
Selain itu tertuduh juga tidak boleh dijamin sementara menunggu perbicaraan.
"Walaupun kita tidak bersalah, terpaksalah meringkuk untuk satu tempoh yang lama sementara menunggu perbicaraan,” jelasnya.