Belajar dengan guru yang betul - Adam Corrie

Iklan
Adam bersama ahli keluarga tersayang. Foto Instagram Adam Corrie

MEMILIH guru yang betul apabila mendalami ilmu agama Islam sangat penting agar penuntutnya tidak terpesong dari landasan yang sebenar.

Begitulah nasihat oleh selebriti dan pendakwah, Adam Corrie Lee Abdullah ketika berkongsi pengalamannya belajar ilmu agama semasa di awal penghijrahannya dahulu.

Iklan
Iklan

"Sebelum berkahwin (sudah syahadah) saya banyak jumpa ‘guru’ yang mahu ajar berkenaan Islam. Alhamdulillah selepas nikah isteri saya betulkan perkara tidak betul dan kurang tepat tentang cara hidup Islam yang mereka sampaikan.

"Dia jelaskan bahawa ini bukan Islam yang betul, tidak boleh amalkan ajaran seperti berikut, perbuatan syirik dan banyak lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Adam turut berkongsi pengalaman semasa di awal hijrahnya yang berulang-alik ke rumah kebajikan selama tiga bulan hanya untuk belajar asas agama Islam seperti solat.

Selepas beberapa bulan mengucap syahadah, beliau akhirnya bertemu dengan isterinya.

Iklan

Menurut Adam, bimbingan isteri membuatkan beliau berjaya mengelak menerima maklumat tidak betul tentang ajaran Islam yang dituntut.

"Setiap hari isteri akan buka baca sirah nabi, solat berjemaah, dan pergi usrah. Bila kelamaan, dia suruh solat jemaah di masjid pula.

"Alhamdulillah, sekarang setiap hari saya akan berjemaah di masjid,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, adalah penting untuk menyelidik dahulu seseorang guru itu, adakah mereka bertauliah ataupun sesat dan sebagainya.

"Ya, bukan senang dari seorang yang sebelum ini kafir, kemudian kembali kepada fitrah untuk terus pasti tahu siapa guru betul.

"Niat kerana ALLAH SWT, doa, istiqamah, berguru dengan betul, pilih pasangan dan rakan baik serta sentiasa berada di tempat yang positif,” katanya.

Adam menambah, pasangan mualaf juga penting untuk membantu akidah pasangannya dalam menyebarkan ajaran agama yang betul terutama di zaman penuh fitnah.