NOF Sunway Lagoon akan jelajah ke seluruh Asia

Iklan
Michelle (barisan belakang, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kreatif Global bagi Syarikat Hiburan Sudden Impact! Lynton V Harris (barisan belakang, dua dari kanan) ketika pelancaran NOF 10 di Sunway Lagoon pada Khamis. Foto Bernama

MEMASUKI 10 tahun penganjurannya, acara hiburan ikonik Nights of Fright (NOF) merupakan tarikan yang paling menguntungkan di Sunway Lagoon.

Penolong Pengurus Besar Pemasaran dan Pengalaman Taman Tema Sunway, Michelle Soong berkata, pengunjung NOF bukan hanya terdiri daripada rakyat tempatan tetapi juga pelancong dari Singapura dan Thailand.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihaknya merancang untuk mengembangkan lagi tarikan itu dengan mengadakan jelajah bagi menarik pengunjung dari negara-negara Asia yang lain.

"Kami amat berbangga kerana NOF merupakan acara atau festival terbesar di rantau ini dan selepas 10 tahun, kami gunakan pengalaman lalu untuk menambah baik NOF,” katanya selepas pelancaran NOF 10 di Sunway Lagoon di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan kira-kira 120,000 pengunjung bagi edisi ke-10 NOF.

NOF 10 berlangsung sehingga 31 Oktober ini di Sunway Lagoon. Foto Bernama

Dalam pada itu Michelle berkata, dengan seramai 150,000 pemegang pas tahunan Sunway Lagoon setakat ini, pihaknya perlu sentiasa kreatif untuk memberikan pengalaman baharu kepada mereka.

Iklan

"Kami perlu memikirkan bagaimana untuk membuat tarikan baharu setiap tahun kerana para pemegang pas tahunan ini akan datang dua hingga tiga kali sebulan. Itu antara cabaran kami,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan memperkenalkan satu tarikan baharu iaitu taman tema malam pada Disember nanti.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai NOF 10, beliau berkata, acara itu kembali dengan pengalaman yang lebih menakutkan, lebih hebat dan lebih menarik berbanding sebelum ini.

Katanya, edisi tahun ini menampilkan ‘Bone Man’ dari China yang akan membawa pengunjung ke laluan menyeramkan, selain cerita seram termasuk kisah ‘Lebuh Raya Karak’ yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Banyak elemen dan tarikan diilhamkan dari Timur kerana rakyat Malaysia sangat mengenali cerita dan filem seram bertemakan Asia.

"Misalnya, jika anda mengunjungi NOF tahun ini, anda akan berjumpa dengan kisah yang diinspirasikan oleh Lebuh Raya Karak, yang akan menjadi antara tarikan di sini," katanya.

Acara yang berlangsung sehingga 31 Oktober ini di Sunway Lagoon itu menjanjikan pengalaman menyeramkan yang tidak dapat dilupakan oleh para pengunjung.

Beliau berkata, tiket berharga RM128 dengan caj tambahan RM98 bagi Pas Ekspres dan boleh dibeli melalui Sunway Super App.