Rangkaian perniagaan GISBH di Terengganu tutup operasi

Iklan
Tinjauan di rangkaian perniagaan di Gong Badak, Kuala Nerus mendapati premis tersebut tidak beroperasi dan ditutup tanpa sebarang notis.

KUALA NERUS - Rangkaian perniagaan dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang beroperasi di dua lokasi di Terengganu dikesan menutup operasi tanpa sebarang notis sejak Jumaat lalu.

Premis tersebut melibatkan kedai bakeri di Wisma Khaleeda, Jalan Tengku Mohamad dekat Gong Badak di sini dan sebuah restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian di dua premis terbabit mendapati tiada sebarang notis berhubung penutupan yang ditampal di luar bangunan rangkaian perniagaan tersebut.

Kedai bakeri dipercayai milik GISBH di Gong Badak, Kuala Nerus ditutup.

Sementara itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, fatwa mengenai doktrin fahaman dalam GISBH akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada Oktober depan.

Iklan

"Pada September ini, kita ada Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang akan diadakan di Terengganu.

"Daripada situ kita akan bincang dan bawa ke mesyuarat fatwa negeri mungkin pada Oktober ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Budin berkata, tindakan terhadap pertubuhan itu akan diambil selepas menerima keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Menurutnya, JHEAT sentiasa memantau sebarang perkembangan dan aktiviti melibatkan organisasi terbabit.

"JHEAT masih menunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum mengambil apa-apa tindakan terhadap organisasi tersebut.

"Kita akan bertindak berdasarkan keputusan dan bidang kuasa yang diputuskan oleh jawatankuasa selepas ini,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya berkaitan dengan batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, fatwa itu dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa tersebut memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

Jelas beliau, kepercayaan dan ajaran dalam organisasi itu merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.