GISBH: 29 individu direman

Iklan
Seramai 16 wanita yang dikaitkan dengan GISBH direman pada Ahad untuk siasatan lanjut pihak polis.

SHAH ALAM - Seramai 29 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) direman di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini pada Ahad.

Perintah reman selama satu hingga tujuh hari dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Md Subri Hashim terhadap kesemua individu berusia 19 hingga 62 tahun.

Iklan
Iklan

Mereka yang direman terdiri daripada 13 lelaki dan 16 wanita.

Kesemua yang direman kemudiannya dibawa menaiki dua van dan sebuah trak polis ke lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, IPD Subang Jaya dan IPD Petaling Jaya.

Iklan

Mereka sebelum itu hadir dengan diiringi pegawai dan anggota polis ke mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi.

Seramai 13 lelaki direman di Mahkamah Majistret Shah Alam untuk siasatan kes GISBH pada Ahad.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan seramai 155 individu termasuk 77 wanita yang disyaki terlibat dengan GISBH ditahan dalam Op Global di Semenanjung Malaysia pada Sabtu.

Iklan

Serbuan melibatkan 82 premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, maahad dan rumah persendirian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi sama seramai 186 orang mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial kerana dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Sebelum itu, Razarudin memberitahu Ketua Pegawai Eksekutif GISBH antara 19 individu ditahan dalam Op Global di Kuala Lumpur, Khamis lalu.