'Musuh-musuh kau tunggu di akhirat kelak' - Ahli GISBH tinggal nota

Iklan
Penemuan pesanan menerusi tulisan yang ditulis di dinding telah dijumpai di sebuah lokasi milik GISBH. Foto: JHEAT

KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Penemuan pesanan menerusi tulisan yang ditulis di dinding telah dijumpai di sebuah lokasi milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di sini sebelum ahli kumpulan tersebut menghilangkan diri sejak Sabtu lepas.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, tulisan yang ditinggalkan itu memberi mesej peringatan kepada pihak berkuasa serta orang ramai berhubung pembalasan yang menanti di akhirat sebelum ahli kumpulan tersebut menghilangkan diri ketika serbuan dijalankan.

Iklan
Iklan

Aizi Saidi berkata, berdasarkan maklumat diterima, semasa serbuan dijalankan di beberapa lokasi oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kesemua ahli GISBH itu telah menghilangkan diri.

"Ketika serbuan di pusat latihan kuda di Bidong pada Sabtu lepas, pihak berkuasa telah menjumpai pesanan tulisan yang ditinggalkan namun tempat diserbu itu telah kosong selain tidak menjumpai sesiapa pun di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Aizi Saidi berkata, setakat ini pihaknya tidak menjumpai sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan ahli GISBH di Terengganu susulan tiada laporan diterima.

"Setakat ini memang tiada aduan daripada masyarakat setempat berkaitan aktiviti mencurigakan daripada ahli GISBH.

Iklan

"Namun kita tetap sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada berlaku kejadian tidak diingini di negeri ini,", ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 11 September lalu.

Hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.

Susulan kes itu, katanya, seramai 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun.

Berdasarkan maklumat serta siasatan dilakukan, polis mengesyaki GISBH melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Pada Sabtu, polis Kelantan merampas puluhan buku berkaitan ajaran dan doktrin yang diperjuangkan oleh GISBH di tepi sungai berhampiran kediaman pengikut kumpulan berkenaan di Kampung Panji di Kota Bharu.

Puluhan buku itu ditemukan tertanam di kawasan tebing sungai berkenaan dan perbuatan itu dipercayai dilakukan selepas Ketua Pegawai Eksekutif GISBH ditahan polis pada Jumaat.