Kutipan sampah terpanjang di pesisir pantai, MBK cipta rekod MBOR

Iklan
Siti Hajar (kiri) menyampaikan penganugerahan Malaysia Book Of Record: Longest Coastal Clean Up yang disaksikan Shafik Fauzan pada majlis itu di Pusat Rekreasi Air, Balok pada Ahad.

KUANTAN - Pengumpulan 16,357.46 kilogram (kg) sampah sarap yang dikutip sepanjang 70.960 kilometer (km) di pesisir Pantai Chendor sehingga Pantai Ceruk Paloh mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) pada Ahad.

Kutipan sampah sebanyak itu berjaya dikumpulkan di 17 lokasi pantai di daerah ini dengan penglibatan seramai 13,253 peserta, anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sempena sambutan World Clean Up Day 2024 di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Rekod 'Longest Coastal Clean-Up' tersebut diserahkan oleh Perunding Kanan (Rekod) MBOR, Siti Hajar Johor kepada Datuk Bandar Kuantan, Datuk Razihan Adzharuddin disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif.

Razihan berkata, program yang diadakan itu bertujuan mewujudkan persekitaran pantai bersih, ceria dan selamat dikunjungi.

Iklan

Menurutnya, ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan perairan pantai di daerah ini.

"Kita akan terus pertingkatkan lagi kesedaran kepada penduduk di Kuantan supaya (mereka) faham (menjaga kebersihan) kerana pantai ini adalah hak milik atau aset bersama.

Iklan

"Hari ini, lebih 13,000 peserta, insya-ALLAH pada masa akan datang jika ada penganjuran sama, kita minta lebih ramai peserta terlibat," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Shafik Fauzan (kiri) dan Razihan (kanan) merasmikan majlis Longest Coastal Clean Up di Pusat Rekreasi Air, Balok pada Ahad.

Majlis perasmian dan penganugerahan Malaysia Book Of Record: Longest Coastal Clean Up disempurnakan Shafik Fauzan di Pusat Rekreasi Air, Balok di sini pada Ahad.

Beliau hadir sebagai wakil rasmi kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyaksikan penganugerahan tersebut.

Razihan memberitahu semua pihak termasuk sektor kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, sukarelawan, peniaga, pelajar dan masyarakat perlu bekerjasama dalam usaha memelihara pantai.

Jelasnya, program itu mendidik semua pihak betapa pentingnya menjaga alam sekitar dan menerapkan nilai cinta alam sekitar dalam kehidupan seharian.

"Melalui usaha ini, kita berharap masyarakat sedar tentang kesan negatif penggunaan plastik terhadap ekosistem marin, selari dengan inisiatif bebas plastik yang semakin diperluaskan.

"Dengan adanya pantai bersih, kita dapat menarik lebih ramai pelancong dan mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan untuk komuniti setempat," katanya.