KUALA NERUS - Status perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Terengganu akan dimuktamadkan selepas mendapat keputusan rasmi oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan menutup premis atau pembatalan lesen perniagaan organisasi tersebut dibuat berdasarkan keputusan fatwa mengenai doktrin kefahaman dalam organisasi tersebut.
Menurutnya, setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT) belum mengambil sebarang tindakan terhadap rangkaian operasi perniagaan yang dijalankan di negeri itu.
"Setakat ini, (premis perniagaan milik GISB) masih tak tutup secara rasmi tapi kita dapat lihat tiada orang yang mengunjungi rangkaian perniagaan mereka.
"Kita tunggu keputusan muzakarah, kalau PBT ambil langkah tak sesuai, nanti boleh disaman pula. Jadi kita tunggu dulu apa tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama mahasiswa anak Terengganu di Pulau Duyong di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu perlu dibuat dengan teliti.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kegiatan GISB di Terengganu dilihat tidak begitu menonjol dan masih terkawal berbanding di negeri lain.
"Kami di pihak kerajaan negeri pun masih belum dapat maklumat yang terperinci kerana siasatan yang dijalankan pihak berkuasa memakan masa lama, bukan sehari dua.
"Siasatan sudah agak lama dijalankan dan kami hanya dimaklumkan ada siasatan sedang dibuat sejak tahun lalu, kita pun tahu terperinci dan serahkan semuanya kepada pihak berkuasa," katanya.