MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru golongan Orang Kurang Upaya (OKU) agar tidak berasa rendah diri sebaliknya yakin dengan potensi mereka untuk menyumbang kepada negara seperti menjadi atlet para yang mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Hannah berkata demikian terutamanya selepas atlet para juga menikmati kenaikan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang membolehkan mereka menjadikan sukan sebagai kerjaya tetap.
"Ini mesej yang nak kita sampaikan tidak kira peristiwa apa yang berlaku sekalipun, kalau anda tidak berfikir dalam victim mindset (pasti boleh melakukan) dengan berkat sokongan semua sebab platform (sudah disediakan).
"... tetapi ramai ingatkan perlu umur di bawah 21 tahun sahaja (tetapi sebenarnya tidak). Jangan malu sebab (mungkin) mereka ada bakat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau atlet Sukan Para Malaysia (Para Sukma) Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kuching di sini hari ini.
Sementara itu, Mully Adriano Tawan, 34, berharap kisahnya yang bangkit selepas kehilangan sebahagian tangan kanan akibat nahas jalan raya sehingga menjadi wakil perenang Sarawak di Para Sukma 2024 dapat memberikan inspirasi kepada orang lain.
Dalam pada itu, Hannah berkata, pihaknya akan mengkaji semula peraturan Para Sukma agar selaras dengan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Para ASEAN.
"Sebagai contoh untuk penambahbaikan yang telah dilakukan untuk Para SUKMA kali ini adalah penglibatan dua negeri saja, event akan berjalan.
"... kerana untuk kategori OKU ini, (ada) pelbagai klasifikasi (jadi) kalau kita tidak bagi peluang kepada (seseorang) itu, mungkin bakat itu yang kita perlukan untuk wakili negara,” katanya sambil menambah akan mempelbagaikan lagi kejohanan dalam negara untuk mencungkil lebih banyak bakat baharu.
Temasya Para Sukma Sarawak 2024 akan membuka tirai secara rasmi hari ini dan berlangsung hingga Sabtu menyaksikan penyertaan 15 kontinjen dengan 1,275 atlet bertanding dalam 10 jenis sukan iaitu olahraga renang, badminton, pingpong, boling, boccia, boling padang, powerlifting, memanah dan catur. - Bernama