[VIDEO] Undi tak percaya: Pas cabar Anwar rungkai 'ikatan' ahli Parlimen

Iklan

POKOK SENA - Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri hanya boleh dilakukan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu merungkai perjanjian yang mengikat kesemua ahli Parlimen.

Ahmad (kiri), Laporan Sinar Harian pada 20 September.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, sekiranya semua ahli Parlimen bebas untuk bersuara, usul berkenan dapat dilakukan secara telus tanpa dibayangi oleh sekatan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara sekatan yang mengikat ahli Parlimen sama ada bawah Kerajaan Perpaduan mahupun pembangkang ialah isu 3R (kaum, agama, raja) dan memorandum persefahaman (MoU) peruntukan kepada pembangkang.

"Jika betul-betul mahu kami buat usul undi tidak percaya di Parlimen, Anwar perlu rungkai ikatan-ikatan yang mengikat ahli Parlimen. Kalau beliau sudah ‘ikat’ ahli Parlimen yang bersama dengan dia untuk menyokong dia, sudah terikat ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), kalau dicabar sudah tentulah banyak halangan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pas Kawasan Pokok Sena, pada Ahad.

Iklan

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ikatan yang dimaksudkan juga merujuk kepada perjanjian sesama ahli Parlimen yang bernaung bawah Kerajaan Perpaduan.

"Ada dua ikatan, yang pertama terhadap ahli Parlimen kerajaan. Tanyalah mereka, ada ikatan yang diikat. Mereka ada perjanjian antara mereka sendiri.

Iklan

"Pembangkang pula sebahagian sekatan merujuk kepada syarat-syarat dalam MoU antaranya kami perlu sokong Anwar,” ujarnya.

Menurutnya, aspek kedua ialah komitmen Speaker Dewan Rakyat sama ada menerima usul terbabit dan memberi laluan agar usul tersebut dibahaskan.

"Speaker perlu beranilah untuk bagi laluan. Anwar pula perlu rungkai ikatan yang mengikat ahli Parlimen daripada mesti menyokong beliau. Dua perkara ini wajar diberikan perhatian sebelum dikemukakan usul berkenaan,” jelasnya.

Pada Jumaat, Anwar ketika berucap dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil mencabar pembangkang untuk bawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

Beliau berkata, pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesa beliau untuk 'turun' daripada jawatannya.

Dalam pada itu, Ahmad menyifatkan desakan untuk menurunkan Perdana Menteri sebagai perkara biasa bagi pihak pembangkang.

"Berdasarkan pengalaman lepas, sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri, ketika beliau bergelar pembangkang. Hari-hari dia bercakap, tumbangkan kerajaan ini.

"Hari-hari dia suruh Perdana Menteri letak jawatan, berundur dan sebagainya, jadi kita anggap itu desakan biasa bagi pembangkang,” ujarnya.