ISTAF naik taraf Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia

Iklan
Halim (tengah), Fariq (kiri) bersama Zhao Shengcun di pejabat pentadbiran kerajaan Qingdao, Shandong, China. Foto ISTAF

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengorak langkah lebih jauh ke arah memartabatkan sukan tradisi Melayu itu apabila mahu menaikkan taraf Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia ASTAF kepada Kejohanan Sepak Takraw Dunia dalam setahun dua lagi.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader memberitahu berita gembira itu selepas beliau dan Timbalan Presiden, Fariq Halim mengadakan pertemuan dengan Timbalan Datuk Bandar Qingdao, Zhao Shengcun yang turut disertai Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw China (CSTA), Han Xiao pada 18 September lalu.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berada di bandar wilayah Shandong, China sempena Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia ASTAF 2024 dari 20 hingga 23 September.

Lapan negara selain tuan rumah iaitu Thailand, Vietnam, Malaysia, Korea Selatan, Filipina, India dan Iraq menyertai kejohanan edisi kedua yang mempertandingkan dua acara, regu dan trio bagi kategori lelaki dan wanita di Pantai Emas Xingdao.

Iklan

Bandar pelabuhan dan pantai peranginan China yang terletak 658.8 kilometer ke ibu kota Beijing itu juga menjadi tuan rumah edisi pertama kejohanan pada 2019.

Halim yang juga Pengarah Teknikal Kejohanan berkata, pada dasarnya pihak pentadbiran bandar itu bersetuju kerana sebuah kejohanan sukan yang bertaraf dunia mampu melonjakkan sektor ekonomi pelancongan yang berasaskan sukan di situ.

Iklan

"ISTAF dan ASTAF juga berjaya meyakinkan mereka, kenaikan taraf Kejohanan Sepak Takraw Pantai Dunia turut akan mempercepat kemasukan sepak takraw ke dalam Sukan Pantai Dunia (WBG) sebagai jenis sukan pertandingan yang baharu.

"Mereka bagaimanapun perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak lain seperti Pusat Pentadbiran Sukan Aneka Bola China, Biro Sukan Wilayah Shandong, Persekutuan Sukan Bola Kecil Shandong dan Biro Sukan Perbandaran Qingdao,” katanya.

WBG anjuran Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (ANOC) dilangsungkan secara dwitahunan yang bertumpu kepada sukan pantai dan air yang bukan dalam acara Sukan Olimpik dengan sasaran penontonnya ialah kalangan mereka berusia 15 hingga 35 tahun.

Temasya pelbagai sukan ini bermula di Doha, Qatar pada 2019 dan diikuti oleh Bali, Indonesia 2023 – dua negara tuan rumah Sukan Pantai Asia 2010 dan 2008 anjuran Majlis Olimpik Asia (OCA) yang turut mempertandingkan sepak takraw pantai.

Antara jenis sukannya ialah badminton udara, bola keranjang bertiga, bola sepak pantai, bola baling pantai, mendayung pecut pantai, pelayaran layang-layang, renang perairan terbuka, akuatlon, bola tampar pantai berempat dan gusti pantai.

"ISTAF akan mengkaji dan menentukan bulan yang sesuai untuk melangsungkan Kejohanan Sepak Takraw Pantai Dunia supaya dapat mengelak pertembungan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan mampu membahayakan para penggiatnya dan penonton.

"Kami mengambil iktibar daripada bencana Taufan Pulasan atau Muifa yang melanda Pantai Emas Qingdao pada 17 September dan kehadiran angin kencang sehingga 50 kilometer sejam yang memaksa jadual pertandingan Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia ASTAF ditunda dan format acara trionya dirombak drastik pada 21 September 2024,” katanya.

ISTAF juga mengenal pasti beberapa pantai peranginan di Malaysia seperti Port Dickson, Kuala Terengganu, Kuantan mahupun Sarawak dan Sabah yang mampu menjadi venue kejohanan sepak takraw pantai antarabangsa yang diiktirafnya.