JKNN angkat karya sastera melalui program tribute pada tokoh

Iklan
Persembahan teater yang mendeklamasikan puisi karya J.M Aziz.

KUALA TERENGGANU - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengangkat semula karya sastera melalui penganjuran program berbentuk tribute terhadap tokoh sastera dan seni yang diadakan di setiap negeri di Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Kebudayaan dan Kesenian JKKN, Rosnan Nordin berkata, Terengganu adalah negeri pertama yang telah menganjurkan program tersebut dengan memilih tokoh penyair, Allahyarham J.M Aziz untuk diangkat dan dikenang semula karya-karya sastera dihasilkan beliau menerusi persembahan utama iaitu teater muzikal yang diadakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penganjuran program itu sebagai usaha memelihara dan menyemarakkan karya agung tersebut kepada masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda.

"Malam mengenang J.M Aziz bertujuan mengenang dan mengangkat semula karya tokoh sastera yang telah banyak memberi sumbangan melalui penulisan karya-karya dihasilkan oleh beliau.

Iklan
Rosnan ketika ditemui selepas program Malam Mengenang J.M Aziz Pengantin Laut di Auditorium JKNN Terengganu.

"Jiwa Merana atau J.M Aziz digelar sebagai pemuisi laut kerana beliau banyak menulis tentang laut, penyu, karang dan nelayan.

"Sebanyak 10 puisi dan tiga lagu karya J.M Aziz dipersembahkan dalam persembahan teater muzikal yang menampilkan barisan artis antaranya Kopratasa dan Azian Mazwan Sapuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Malam Mengenang J.M Aziz Pengantin Laut di Auditorium JKNN Terengganu pada malam Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Rosnan berkata, program tersebut yang merupakan program penyemarakkan karya seni, sastera, teater warisan dan karya agung itu mendapat peruntukan di bawah Inisiatif Belanjawan 2024.

"Jadi setiap negeri di Malaysia perlu mencari karya agung-agung yang perlu diangkat menerusi program diadakan seperti hari ini sebagai contoh Pulau Pinang mengangkat karya bangsawan, Johor angkat karya-karya Usman Awang manakala Melaka pula hikayat Sulalatus Salatin.

Antara persembahan yang dibuat oleh Kopratasa semasa Malam Mengenang J.M Aziz Pengantin Laut di Auditorium JKNN Terengganu.

"Jadi usaha diadakan ini dapat memberi sesuatu kepada penonton terutama generasi muda menerusi persembahan yang dibuat selain menggalakkan orang ramai untuk menghargai dan meminati karya-karya sastera dicipta," ujarnya.

Selain persembahan, terdapat pelbagai aktiviti menarik diadakan di JKNN Terengganu pada Sabtu bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam antaranya persembahan muzik 'busking' yang mengangkat puisi-puisi dihasilkan J.M Aziz termasuk Pengantin Laut.

Selain itu, pertandingan solekan, pertandingan deklamasi sajak, bengkel teknik penulisan puisi, pasar jualan makanan, pameran galeri seni J.M Aziz dan persembahan kesenian dikir barat turut diadakan sepanjang program diadakan selama sehari tersebut.