Agong selamat tiba ditanah air daripada Lawatan Negara ke China

Iklan
Sultan Ibrahim selamat kembali ke tanah air selepas mengadakan Lawatan Negara ke China selama empat hari. Foto Bernama

SUBANG - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selamat berangkat tiba ke tanah air selepas mengadakan Lawatan Negara ke China selama empat hari.

Pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 2.55 petang dengan ketibaan Seri Paduka Baginda disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Iklan
Iklan

Turut berada di Pangkalan TUDM ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mengiringi keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda dari China ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Iklan

Lawatan Negara ke China merupakan lawatan pertama Sultan Ibrahim selepas menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari, atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Yang di-Pertuan Agong memulakan Lawatan Negara pada Jumaat lepas dengan diberi sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing dan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Xi.

Iklan

Sejurus selepas itu, Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Xi di Dewan Timur, Great Hall of the People di Beijing, sebelum Seri Paduka Baginda menghadiri Majlis Santapan Negara yang diraikan Xi di bangunan sama.

Seri Paduka Baginda turut menerima menghadap Perdana Menteri China Li Qiang di Dewan Timur, Great Hall of the People.

Pada lawatan ini, Sultan Ibrahim turut berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu yang terletak di Beijing Foreign Studies Universiy (BFSU) dengan nama Seri Paduka Baginda iaitu Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.

Yang di-Pertuan Agong juga berkenan meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan diaspora Malaysia di China yang teruja bertentang mata dengan Ketua Utama Negara Malaysia.

Mengakhiri Lawatan Negara, Seri Paduka Baginda berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing (COMAC) bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan terkini China sebelum meninjau dua pesawat yang dibangunkan COMAC di Lapangan Terbang Beijing Capital.

Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China yang kian berkembang pesat sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.

Lawatan itu merupakan Lawatan Negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun, menandakan detik penting bagi kedua-dua negara ketika meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik. - Bernama