[VIDEO] Teliti perluas konsep rumah transit Bangsa Johor ke negeri lain - Ahmad Zahid

Iklan

KLUANG - Kerajaan Persekutuan sedia meneliti peluasan perlaksanaan konsep rumah transit Bangsa Johor yang diperkenalkan dua tahun lalu, ke negeri lain, membantu rakyat khususnya keluarga muda kurang berkemampuan dapat memiliki kediaman.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan yang dibuat di Johor dengan memulangkan 30 peratus daripada kadar jumlah sewa kepada keluarga muda selepas tempoh sewaan selama lima tahun berakhir, adalah terbaik.

Iklan
Iklan
Ahmad Zahid bergambar bersama pembeli rumah selepas Majlis Merealisasikan Rumah Mampu Milik Kluang di Taman Kluang Perdana, pada Ahad.

"Bagi keluarga muda, mereka boleh menggunakan 30 peratus daripada jumlah sewaan yang juga simpanan untuk membeli rumah sekiranya tempoh sewaan rumah transit berakhir.

Iklan

"Rumah ini dikategorikan kepada beberapa sektor terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan jadi, amat sesuailah ia diperluaskan kerana ketika ini kuasa beli keluarga muda masih berkurangan.

"Saya yakin soal menyantuni keperluan rumah untuk keluarga baru perlu dibuat untuk membantu mereka. Pendekatan yang baru ini boleh diaplikasikan di negeri lain terutama dalam kawasan bandar dan pinggir bandar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Merealisasikan Rumah Mampu Milik Kluang di Taman Kluang Perdana, di sini pada Ahad.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menyanggah dakwaan sesetengah pihak bahawa Kluang dipinggirkan berbanding daerah lain di Johor.

Sebaliknya tegas beliau, ketika ini, Kluang yang terdiri daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan DUN Mengkibol sedang mengalami kepesatan pembangunan.

"Saya ingin menegaskan bahawa tiada ada satu pun daerah di Johor yang tertinggal kerana ada tuduhan mengatakan Johor tengah khususnya di Kluang terpinggir, kerana kononnya pembangunan tertumpu di Johor Bahru di selatan dan kawasan utara, Muar.

"Sedangkan kita melihat Kluang akan mempunyai akses apabila trek berkembar dan stesen baru Keretapi Tanah Melayu (KTM) siap sepenuhnya.

"Ini boleh menghubungkan penduduk di Kluang dengan daerah berhampiran sama ke utara, selatan atau Kuala Lumpur," katanya.