Jangan jadikan agama sebagai tunggangan capai hasrat politik - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

KLUANG - Semua pihak terutama individu, parti mahupun mana-mana organisasi diingatkan untuk tidak menggunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat peribadi atau politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Islam perlu dijaga dan tanggungjawab memelihara serta mengimarahkannya adalah peranan semua pihak.

Iklan
Iklan

"Soal agama bukan milik parti politik, soal agama bukan milik individu dan soal mengimarahkan agama bukan milik mana-mana organisasi, ia tanggungjawab pemimpin dan umah keseluruhannya.

"Dalam hal agama kita harus ‘buta warna’ dan soal agama ini bukan milik seseorang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan serta Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menghormati sebesar manapun ilmu seseorang dan ulama itu, jika digunakan menyesatkan serta menunggang agama.

Iklan

"Saya tak hormat orang seperti itu, betulkan situasi itu daripada terus berlaku,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Presiden UMNO itu berharap calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah perlu dibantu kepimpinan tertinggi Johor sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota nanti.

Jelas beliau, bimbingan itu cukup penting bagi memastikan Syed Hussien akan menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baik.

PRK DUN Mahkota itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, daripada Barisan Nasional (BN) pada 2 Ogos lalu.

BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, manakala bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61 mewakili Perikatan Nasional (PN)

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini sementara hari pengundian awal pada 24 September.