BEIJING - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Lawatan Negara Seri Paduka Baginda ke China mengukuhkan lagi persahabatan dan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Sultan Ibrahim bertitah banyak perkara telah dibincang bersama Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang serta diterima baik oleh kedua-dua pemimpin.
"Hubungan baik antara Malaysia dan China berasaskan kepercayaan serta penghormatan yang membolehkan kerjasama erat dalam hampir semua sektor.
"Beta berharap kerajaan akan meneliti hasil lawatan ini dan mengambil langkah sewajarnya dalam bidang yang dibincangkan antaranya pendidikan, perdagangan, pelaburan serta pengangkutan dan kesalinghubungan,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Ahad.
Sultan Ibrahim bertitah kebangkitan China di persada antarabangsa dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini cukup menakjubkan.
"Negara mereka mempunyai contoh-contoh yang baik untuk kita teladani dalam usaha memulihkan negara selepas beberapa tahun kebelakangan ini yang menduga,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka Baginda turut memuji pendirian China yang menyanggah tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Sultan Ibrahim bertitah Malaysia senada dengan China dalam menyatakan solidariti terhadap isu keamanan sejagat di bumi Palestin.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan China atas keistimewaan yang diberikan sewaktu anakanda Seri Paduka Baginda iaitu Almarhum Tunku Abdul Jalil, yang juga Tunku Laksamana Johor, menerima rawatan di negara itu.
"Kerajaan China telah memberikan pengecualian khas kepada anakanda Beta untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di China walaupun Almarhum seorang warga asing. Beta akan sentiasa bersyukur atas perkara ini,” titah Seri Paduka Baginda.
Bersempena jubli emas perhubungan Malaysia-China, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar perhubungan kedua-dua negara terus subur dan erat demi manfaat bersama.
"Ulang tahun ke-50 perhubungan diplomatik bukan sahaja satu sorotan untuk diraikan tetapi juga ruang untuk memperkukuh kerjasama ke arah masa depan yang lebih baik,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim berangkat pulang ke tanah air hari ini selepas selesai mengadakan Lawatan Negara ke China selama empat hari bermula 19 September lepas.
Lawatan pertama Seri Paduka Baginda ke republik itu selepas menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas adalah atas jemputan Xi.
Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China yang berkembang pesat sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.
Ia adalah Lawatan Negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun sekali gus menandakan detik penting bagi kedua-dua negara ketika meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Pada 2014, Yang di-Pertuan Agong ke-14 Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mengadakan lawatan ke republik itu atas jemputan Xi bersempena ulang tahun ke-40 hubungan Malaysia-China yang dijalin sejak 31 Mei 1974.
Ini merupakan lawatan kedua oleh Seri Paduka Baginda dengan yang pertama adalah ke Singapura pada 6 Mei lepas atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam. - Bernama