Lebih 13 jam terperangkap dalam salji tebal di Afrika Selatan

Iklan
Beberapa pengguna lalu lintas membantu kereta yang terperangkap di dalam salji tebal di Oliviershoekpass berhampiran Harrismith. - Foto AFP

WARDEN - Salji tebal luar biasa telah menyebabkan gangguan kepada laluan utama di Afrika Selatan pada Sabtu yang turut menyaksikan ramai mangsa terperangkap dan terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing.

Lebuh raya N3 yang menghubungkan Johannesburg dan bandar Durban antara yang paling teruk terjejas hingga mengakibatkan beberapa bahagian terpaksa ditutup malah laluan yang dilencongkan juga tidak dapat diakses.

Iklan
Iklan

"Perkhidmatan kecemasan berusaha keras untuk sampai ke lokasi mangsa terkandas. Selimut dan bekalan makanan diberikan kepada mereka,” ujar jurucakap pemerintah di wilayah KwaZulu-Natal.

Beberapa penduduk tempatan yang teruja dengan salji tebal membina 'orang salji' di Warden, wilayah Free State. - Foto AFP

Difahamkan, banyak trak yang diparkir di tepi jalan sejak Jumaat lalu dan ada perkhidmatan bas antara wilayah terkandas di stesen petrol selama kira-kira tujuh jam akibat salji tebal tersebut.

Iklan

Catatan mangsa terkandas dikongsikan di platform X mendakwa beberapa kawasan diselubungi salji setebal dua meter.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Sempadan memaklumkan ia menutup tiga pos sempadan dengan Lesotho berikutan situasi yang semakin berbahaya.

Iklan

"Ancaman salji tebal dengan amaran peringkat jingga bakal dilaksanakan di beberapa bahagian di seluruh negara,” jelas jurucakap Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan, Luthando Masimini yang menyifatkan ia sebagai 'keadaan ekstrem'.

Fenomena jarang berlaku itu turut menarik minat segelintir penduduk tempatan termasuk Justin Nadasem Baker yang sanggup memandu selama tiga jam dari Johannesburg ke Warden yang terletak kira-kira 50km dari Harrismith.

"Kami sekeluarga sangat teruja untuk melihat dan bermain salji,” katanya. - AFP