Hasrat Tze Jian-Tien Chi rangkul kejuaraan sulung tidak kesampaian

Iklan
Tze Jian-Tien Ci ketika beraksi menentang Solomon-Julius pada Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Petronas Malaysia 2024.

HASRAT gandingan baharu beregu lelaki negara Lim Tze Jian-Wong Tien Chi untuk meraih kejuaraan sulung Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2024 tidak tercapai selepas tewas kepada pasangan Filipina pada perlawanan akhir di Ipoh pada Ahad.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Badminton Perak, gandingan baharu sejak Mac lalu itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila membenam Solomon Jr Padiz-Julius Villabrille 21-14 dalam masa 12 minit pada set pertama.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beregu negara gagal mengekalkan momentum apabila pasangan Filipina itu kembali memperkemaskan permainan sebelum menang 23-21 dan mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-16.

Selaku juara, Solomon Jr-Julius membawa pulang hadiah wang tunai AS$2,000 (RM8,410) manakala Tze Jian-Tien Chi meraih AS$1,2000 (5,046).

Iklan

Sementara itu, gelaran perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita menjadi milik pemain Jepun.

Ia bermula dengan ketangkasan Minoru Koga menewaskan rakan senegara Riku Hatano 21-19, 15-21, 21-11 untuk dinobatkan juara perseorangan lelaki.

Iklan

Solomon dan Julius selepas menjuarai acara beregu Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Petronas Malaysia 2024 di Stadium Arena Badminton Perak.

Bekas remaja wanita dunia 2019, Riko Gunji terpaksa bermandi peluh sebelum bangkit mengatasi pemain Indonesia Ruzana 19-21. 21-15, 21-11 dalam pertarungan selama 63 minit untuk bergelar juara perseorangan wanita.

Bagi kategori beregu wanita, gandingan Naru Shinoya-Nao Yamakita mengekalkan rentak kecemerlangan itu apabila menumpaskan rakan senegara, Hinata Suzuki-An Uesugi, 21-12, 12-21, 21-17 yang berlangsung selama satu jam.

Sementara itu, gelaran juara beregu campuran menjadi milik pasangan Indonesia Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah yang menewaskan gandingan senegara Adnan Maulana- Indah Cahya Sari Jamil, 22-24, 21-11, 21-19.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$19,000 (RM79,900) itu disertai 18 negara antaranya India, Indonesia, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, Sri Lanka, Australia dan New Zealand.

Juara bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai AS$2,000 (RM8,410), tempat kedua AS$1,200 (RM5046) manakala pemain yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir serta suku akhir masing-masing menerima AS$500 (RM2,103) dan AS$200 (RM841). - Bernama