Sea Group tuntut ganti rugi daripada balu jutawan British

Iklan
Kapal layar 'Bayesian' yang dilaporkan karam di Palermo, Sicily, Itali. Foto EPA

ROME - Syarikat pembuat kapal layar super mewah yang karam di luar pantai Sicily bulan lepas menuntut ganti rugi sebanyak €222 juta (AS$248 juta) daripada balu jutawan British, Mike Lynch atas kerosakan reputasi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik akhbar harian Sicilia pada Ahad.

Tuntutan daripada Sea Group itu telah dihantar kepada balu Lynch, Angela Bacares, lapor Giornale di Sicilia. Lynch adalah antara tujuh orang yang terkorban dalam insiden karamnya kapal layar bernama Bayesian, pada 19 Ogos di Porticello, timur Palermo.

Iklan
Iklan

Sea Group mendakwa bahawa ia telah mengalami kerosakan reputasi akibat tindakan kru yang tidak cekap di atas kapal layar itu, yang diperakui oleh syarikat itu sebagai 'tidak boleh tenggelam'.

Keadaan sebenar semasa kapal itu karam dalam ribut kuat masih belum jelas. Walaupun kru berjaya diselamatkan, kecuali cef kapal layar itu, enam penumpang termasuk anak perempuan Lynch yang berusia 18 tahun, maut.

Iklan

Pendakwa raya Itali kini sedang menyiasat kapten, seorang warga New Zealand yang dilaporkan mempunyai pengalaman luas dalam pelayaran, serta dua kru lain. Mereka juga sedang menyiasat sama ada syarikat yang membina kapal itu bertanggungjawab atas insiden berkenaan.

Tiada tarikh ditetapkan untuk mengangkat kapal layar berusia 15 tahun itu. Dengan panjang 56 meter dan tiang sepanjang 75 meter, Bayesian adalah antara kapal layar terbesar di dunia.

Iklan

Ia dibina oleh limbungan kapal Itali, Perini Navi, yang kemudiannya diambil alih oleh Sea Group.

Menurut laporan itu, peguam Sea Group berpendapat bahawa kapten tidak layak untuk mengemudi kapal layar berkenaan.

Tindakan undang-undang ini diambil terhadap Revtom Ltd, yang dikawal oleh Bacares dan Camper & Nicholsons, pengendali kapal layar mewah. Tiada komen awal diberikan oleh pihak-pihak berkenaan. - Bernama