TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani atas kejayaan menjuarai kejohanan badminton Terbuka China.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid menyifatkan kemenangan ke atas pasangan tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi final hari ini sebagai suatu yang bukan mudah untuk digapai dan ia harus diraikan oleh semua peminat sukan badminton negara, apatah lagi mereka berdepan dengan lawan yang merupakan pilihan kelima.
Iklan
Iklan
"Kemenangan ini merupakan pencapaian sulung Goh Sze Fei-Nur Izzuddin membawa pulang gelaran dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000,” katanya.
Sze Fei-Nur Izzuddin yang tewas 13-21 di set pertama bangkit untuk menang dua set berikutnya 21-12, 21-17 ke atas lawan di ranking ketujuh dunia itu sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$148,000 (RM622,361).
Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai atas persembahan yang hebat walaupun tewas di tangan pasangan tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-16, 14-21, 17-21 untuk bergelar naib juara.
Ahmad Zahid berharap perlawanan tersebut dapat menjadi penguat semangat kepada beregu campuran negara itu untuk terus berjuang ke peringkat seterusnya.
"Tahniah Malaysia!,” kata beliau. - Bernama