Program khas bantu pelajar cicir, tidak minat masuk tingkatan 4 sertai TVET - TPM

Iklan
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena kempen PRK DUN Mahkota di Command Center BN hari ini. Foto Bernama

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Satu program khas akan dilaksana bagi membantu pelajar yang keciciran atau tidak berminat untuk menyambung pelajaran ke tingkatan empat memasuki bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya program itu dapat dilaksanakan akhir tahun ini.

Iklan
Iklan

"Saya telah bincang agar satu ujian khas tanpa bertulis (diberikan) kepada pelajar (terbabit) untuk masuk ke Kolej TVET untuk memberi peluang kepada mereka yang keciciran yang mungkin tidak minat untuk menyambung pelajaran.

"Jangan ingat tanpa SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tidak ada hari esok, tidak ada masa depan. Melalui ekosistem pendidikan TVET, walaupun tanpa SPM tetapi melalui kursus TVET, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 1 dan 2 setaraf SPM manakala SKM 3, 4 dan 5 sama dengan diploma.

Iklan

"Kita mesti menyediakan ekosistem kepada pelajar ini, negara memerlukan pekerja dan syarikat yang melabur dalam negara juga perlukan guna tenaga dalam kalangan anak muda,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Kaum India Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Barisan Nasional (BN) pada PRK itu, Syed Hussien Syed Abdullah.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, beliau akan berbincang dengan pemimpin masyarakat India termasuk Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran untuk mencari jalan bagi menggalakkan golongan muda kaum itu mengambil SKM, yang juga dapat membuka peluang ke institusi pendidikan tinggi tanpa SPM.

Pengerusi BN itu turut memberi peringatan kepada Syed Hussien untuk menjadi wakil rakyat 'buta warna' jika menerima mandat rakyat pada 28 Sept ini kerana pengundi akan menilai prestasi beliau dan kembali membuat pilihan pada pilihan raya seterusnya.

"Jika menang, beliau menang dengan sokongan semua... dan masyarakat di sini mengharapkan perkhidmatan yang baik untuk semua. Jangan malukan saya yang menandatangani watikah (untuk beliau menjadi calon) atas persetujuan Menteri Besar," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu kekurangan krematorium di Johor seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Besar kepada beliau untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Onn Hafiz dalam ucapannya pula memaklumkan kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM16.9 juta dalam tempoh dua tahun bermula 2022 kepada masyarakat India menerusi pelbagai program selain menyelesaikan isu seperti rumah ibadat, tapak perkuburan dan pendidikan.

"Ini kita beri kepada masyarakat India di semua daerah. Dari segi pendidikan contohnya, semua bilik guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di seluruh negeri menerima bantuan RM5,000 melibatkan bantuan RM400,000," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mementingkan aspek kebajikan semua rakyat dan adalah penting untuk semua Bangsa Johor bersatu mengekalkan perpaduan yang ada untuk kemajuan masa depan.

PRK DUN Mahkota, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussein dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar. - Bernama