Dr Akmal bukan anti mana-mana kaum, kelantangan selari suara UMNO - Ku Li

Iklan
Ku Li (dua,kanan), dan Syed Hussien (dua,kiri) ketika Program Sembang Santai Petang bersama Gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Kluang, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu 1, di sini pada Ahad.

KLUANG - Kelantangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak sepatutnya dianggap sebagai anti terhadap mana-mana kaum, sebaliknya apa yang dilakukan selari dengan perjuangan UMNO, seperti termaktub dalam Perlembagaan parti.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah malah menyifatkan tindakan Muhamad Akmal juga tidak membawa maksud untuk melancarkan 'perang'.

Iklan
Iklan

"Mengapa nak kena minta maaf? Saya rasa ini adalah pandangan ikhlas daripada Ketua Pemuda (UMNO) kita (Akmal), dia meluahkan perasaan (dan ini) bukan soal sijil halal tak halal tapi soal perasaan dia tak begitu puas hati.

"Pandangan saya, macam apa yang diluahkan oleh pemimpin kita sama ada Akmal ataupun sesiapa, bukan bererti kita mempunyai perasaan anti ataupun nak lawan.

Iklan

"Sebaliknya ia sekadar meluahkan macam-macam perkara yang dia tak senang hati terhadap orang lain," katanya ketika ditemui pemberita ketika Program Sembang Santai Petang bersama Gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Kluang, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu 1, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau yang menuntut Dr Akmal meminta maaf kepada Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dan semua rakyat Malaysia berhubung isu pensijilan halal.

Iklan

Menurut Cheng Hau, ia berikutan keputusan terkini Kabinet untuk tidak mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan perniagaan makanan yang tidak menjual daging babi dan alkohol sekali gus membuktikan kebenaran pendirian Kok.

Pada masa sama, Tengku Razaleigh yang mesra disapa sebagai Ku Li berkata, perjuangan UMNO sebagai parti nasionalisme Melayu sendiri masih tidak berubah, namun tidak bermakna memandang enteng sokongan pengundi kaum lain.

"Saya rasa masih tidak berubah (perjuangan UMNO) tapi tidak beerti kita tidak mahu kepada pengundi orang-orang Cina, ini semua rakyat Malaysia.

"Namun pendirian itu (parti dalam Kerajaan Perpaduan) masing-masing bawa," jelasnya.

Untuk rekod, menurut Perlembagaan parti ini, UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan Negara.

Ia juga yang memperjuangkan hak-hak istimewa orang Melayu dan orang Bumiputera.

Ditanya potensi kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu optimis calon BN, Syed Hussien Syeh Abdullah mampu mengekalkan kerusi BN meskipun berdepan cabaran serangan lawan politik.

"Kita mempunyai harapan baik di sini (Mahkota). Tinggal lagi di mana-mana kita pergi usaha dijalankan oleh pihak-pihak yang tak suka kepada kita ialah dengan bertindak memecah-belahkan orang Melayu.

"Maka disebabkan itu, kita UMNO menghadapi masalah tapi bukan masalah yang besar ia masalah yang dilakukan oleh mereka yang tak suka melihat orang Melayu bersatu.

"Jadi kita kena lawanlah usaha yang jahat ini oleh pihak yang sengaja guna kesempatan ini untuk melemahkan kita orang Melayu," katanya.