PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan ketumpulan jentera penyudah The Rhinos menjadi punca kepada kekalahan tipis 0-1 kepada PDRM FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perbandaran Selayang.
Tambahnya, pemain-pemain kelab Kepulauan Borneo itu seharusnya mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan perkara sama tidak berulang dalam perlawanan seterusnya.
"Separuh masa pertama perlawanan seimbang, separuh masa kedua pula kami mendominasi permainan dengan mencipta peluang sebelum dan selepas PDRM mendahului.
"Kami mencipta deretan peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini, namun gagal disempurnakan sebaiknya
"Sekiranya kita tidak dapat menyudahkan setiap peluang menjaringkan gol, bagaimana pasukan mahu mendapatkan mata?," katanya.
PDRM membawa pulang tiga mata dalam perlawanan itu hasil daripada gol yang dijaringkan pemain gantian, Ifedayo Olusegun pada minit ke-80.
Sementara itu, Kim Swee mengakui prestasi yang dipamerkan pemain-pemain Sabah dalam perlawanan tersebut bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.
"Sekiranya kami tidak mengambil tindakan segera mengatasi perkara ini, pastinya akan menyukarkan lagi pasukan meraih keputusan positif dalam baki saingan musim ini," ujarnya.