Niat bantu peniaga kecil

Iklan
Antara peniaga yang mengambil bahagian di CBS Temerloh. Gambar kecil: Khairul Najmi

TEMERLOH - Bermula dengan niat untuk membantu peniaga kecil khususnya di daerah ini, kini Khairul Najmi Ahamad @ Ahmad, 40, memiliki tiga tapak jualan but kereta atau car boot sale (CBS) yang berjaya menarik kehadiran pengunjung dari luar dan dalam Pahang.

Di bawah syarikat pengurusan miliknya, Temerloh Hard Koy Enterprise, Khairul Najmi yang lebih dikenali dengan panggilan Along terus melebarkan sayapnya menerusi CBS Temerloh yang beroperasi setiap Sabtu di Lurah Semantan, Bera (Jumaat) di Dataran Kerayong dan terbaharu di Mentakab di hadapan pejabat pos pada Ahad.

Along turut menawarkan pelbagai hadiah untuk peniaga selain buat pengunjung CBS

Iklan
Iklan

Anak jati Temerloh kelahiran Kampung Buntut Pulau di sini itu berjaya membantu lebih 400 usahawan kecil menerusi CBS terbabit. Menurutnya, sebelum terbabit dalam bidang tersebut, beliau mengusahakan perniagaan mengambil tempahan cop baju serta lain-lain.

"Dengan modal permulaan sebanyak RM3,000, saya memberanikan diri mengusahakan CBS Temerloh pada 2014 dan tertarik dengan perniagaan menggunakan kereta.

Iklan

"Sebab tegar memilih dan meneruskan penganjuran CBS ini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana ingin membantu peniaga-peniaga kecil yang tidak mempunyai premis perniagaan dengan berniaga di CBS.

"Saya terpanggil untuk mengumpul peniaga yang ingin bekerjasama dengan saya dan kami mulakan operasi perniagaan, bangunkan dan promosi bersama-sama supaya ramai pengunjung datang membeli,” katanya kini memiliki 12 pekerja.

CBS Temerloh terus meriah dan mendapat sambutan memberangsangkan pengunjung hingga menjadi tarikan di daerah itu setiap minggu.

Iklan

Tambahnya, walaupun hanya berniaga seminggu sekali tetapi bersyukur melihat senyuman di wajah peniaga apabila jualan mereka membuahkan hasil yang lumayan dengan kehadiran ribuan pengunjung setiap minggu.

Ujar Along, pengalaman membuka CBS Temerloh yang kini sudah mencecah usia 10 tahun penganjurannya digunakan sebaik mungkin untuk membuka CBS di tempat lain.

"Kini CBS Temerloh berjaya menarik lebih 240 peniaga setiap minggu dan difahamkan memiliki jumlah peniaga teramai di Malaysia setakat ini,” jelasnya menambah, CBS Bera dibuka pada Jun tahun lepas dan CBS Mentakab bermula 8 September lalu.

Antara peniaga yang mengambil bahagian di CBS Temerloh.

Mengakui bukan mudah untuk memastikan perniagaan CBS terus kekal relevan, Along memastikan beberapa elemen dan disiplin menjadi teras perniagaan tersebut.

"Ada masanya saya juga ada rasa putus asa, melakukan kesilapan dan tidak mampu hendak puaskan hati banyak pihak.

"Ada ketika ada beberapa pihak yang tidak berpuas hati, lantang mencemuh, mencaci kerana membuat peraturan yang perlu diikuti supaya pengurusan CBS berjalan lancar.

"Saya akui cabaran menguruskan orang bukan mudah tetapi tetapi bagi pihak pengurusan, kami akan sentiasa memperbaiki mutu pengurusan dan tambah nilai aktiviti-aktiviti bagi memeriahkan suasana CBS supaya skala pengunjung lebih besar dapat dilakukan,” katanya menambah, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi cabaran getir buat semua pihak.

Ujar Along, pelbagai aktiviti turut diadakan di tapak CBS sebagai tarikan pengunjung antaranya aksi badut, cabutan hadiah bertuah, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan lain-lain.

Ditanya kepuasan sepanjang menguruskan CBS, Along menyifatkan apabila dapat membantu ramai peniaga kecil mencari rezeki selain dapat menawarkan banyak peluang pekerjaan.

"Syukur bila peniaga terlibat maklumkan hasil jualan mereka laris terjual, itu saja sudah buat saya gembira dan teruja apabila mereka juga mempromosikan tapak CBS di media sosial masing-masing.

"Turut membanggakan apabila pengunjung yang datang bukanlah hanya dari kalangan orang Temerloh dan sekitar sahaja tetapi ada juga datang jauh dari negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka dan sebagainya,” jelasnya.