Rekod sejarah penting untuk pelihara kedaulatan negara

Iklan
Ahmad Zahid (tengah), Aaron (dua dari kiri) bersama Saraswathy, Hasnol Zam Zam dan Jaafar Sidek hadir pada Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024.

Banyak bahan sejarah dan dokumen penting Malaysia masih berada di luar negara yang perlu didapatkan untuk memelihara kedaulatan negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, rekod-rekod tersebut boleh dijadikan bahan bukti untuk mempertahankan sempadan dan wilayah negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian memungkinkan Malaysia kehilangan hak melindungi kepentingan itu pada masa hadapan.

"Rekod berkenaan termasuk dokumen rasmi dan tidak rasmi seperti fail pentadbiran, laporan dan perjanjian.

Iklan

"Kos untuk memperolehi rekodrekod ini adalah besar dan berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangan sewajarnya bagi tujuan itu,” katanya ketika berucap di Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 di Double Tree By Hilton I-City, di Shah Alam pada Khamis.

Perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasmi, Ketua Setiausaha KPN, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Iklan

Aaron berkata, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) akan berusaha sebaik mungkin untuk mengumpulkan sebanyak (bahan) sejarah daripada tokoh-tokoh, individu dan komuniti untuk dibawa kepada ANM dan disimpan dan serta menjadi bahan rujukan pada masa depan.

Ahmad Zahid (tengah) bersama pengurusan tertinggi KPN merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024.

"Ini termasuklah mendapatkan bahan-bahan koleksi dari India, Filipina, United Kingdom, Portugal dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini ANM bertanggungjawab untuk menyimpan dan memelihara dokumen-dokumen sejarah berkaitan pembangunan negara termasuk dokumen kerajaan, suratmenyurat rasmi dan bahan sejarah lain.

"Pemeliharaan ini bagi memastikan rekod-rekod ini tetap dalam keadaan baik dan boleh diakses oleh generasi akan datang."Dengan menjalankan fungsi-fungsi ini, ia membantu dalam memelihara identiti kebangsaan, menyediakan sumber maklumat untuk penyelidikan dan pendidikan serta melindungi warisan budaya negara,” katanya.

Beliau berkata, program-program advokasi yang dijalankan oleh ANM seperti Majlis Pengkisahan Sejarah, Majlis Polemik Sejarah Malaysia, Sejarah Lisan dan Bicara Negarawan adalah bertujuan untuk menyebarluaskan maklumat sejarah kepada masyarakat.

"Bagi tujuan pemeliharaan bahan arkib agar kekal bertahan, ANM melaksanakan tugas-tugas pemeliharaan dan pemuliharaan bahan.

"Pemeliharaan bahan meliputi penjagaan suhu dan kelembapan gedung simpanan bahan arkib. Pemuliharaan bahan meliputi kerja awet jilid kepada bahan arkib yang uzur dan rosak,” kata Aaron.

Membawa pulang bahan sejarah

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan peruntukan untuk membawa pulang bahan sejarah yang dikenal pasti terdapat di beberapa negara penjajah serta dipegang oleh individu tertentu.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat jemaah menteri pada minggu hadapan untuk menyalurkan peruntukan mengikut justifi kasi diperlukan.

"Rekod ini penting bukan hanya rujukan kepada penyelidik bagi tujuan kajian tetapi sebagai bahan bukti memelihara kedaulatan sempadan negara.

"Bahan sejarah ini perlu dipelihara kerana merupakan khazanah tidak ternilai yang perlu dikongsi bersama pengkaji serta masyarakat,” katanya.

Ujarnya, fakta sejarah tidak boleh dipadam atau dimanipulasi disebabkan peredaran zaman mahupun perbezaan fahaman politik.

Peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 di Hotel Double Tree By Hilton I-City di Shah Alam pada Khamis.

Tambah beliau, platform media sosial yang semakin meluas juga menjadi cabaran dalam memelihara kesahihan fakta sejarah yang dikongsikan.

"Penyampaian di media sosial sangat berbeza dengan kaedah penyelidikan apabila ada antaranya menyuarakan pendapat berdasarkan analisis peribadi.

"Sepatutnya ia bersifat objektif kerana sejarah adalah fakta, bukan manipulasi terhadap fakta seperti polarisasi perkauman dan politik berlebihan.

"Ia boleh menimbulkan bibit kebencian melampau yang perlu dibendung kerana mengancam keharmonian kaum dalam negara," katanya.

Pembangunan negara

Sementara itu, Pensyarah School of Law and Governance, Taylor’s University, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan, usaha membawa pulang bahan sejarah berkaitan negara merupakan satu keperluan dan perlu dilakukan secara berterusan.

"Bahan sejarah, manuskrip dan rekod lama yang wujud sebelum merdeka banyak terdapat di Belanda dan United Kingdom perlu dibawa pulang untuk dikaji semula.

"Cuma untuk bawa pulang bahan penting ini bukan percuma dan memerlukan dana kerana terdapat bayaran tertentu untuk mendapatkan gambar yang kadang kala tidak boleh dibuat salinan.

"Melalui dana yang disalurkan ke institusi pendidikan, membolehkan penyelidik untuk mengumpul dan membawa sumber sejarah bagi rujukan pada masa hadapan,” katanya selepas menjadi salah seorang panel pada sesi forum berkenaan.

Konvensyen berlangsung selama dua hari itu bertemakan Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa. Ia mempericikan empat tema utama iaitu Persekutuan, Ekonomi, Masyarakat dan Pembinaan Negara.

Turut diadakan ialah sesi pembentangan kertas, sesi forum oleh tokoh berpengalaman serta pameran eksklusif ‘Perjuangan Perdana Ke Arah Kemerdekaan’.

Di akhir konvensyen tersebut, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia telah membentangkan resolusi konvensyen seperti mewujudkan Majlis Sejarawan Negara, mempergiatkan usaha penghayatan dan pengamalan Rukun Negara di semua peringkat usia bagi memupuk perpaduan tanpa mengira latar belakang dan etnik, memperkenalkan semula konsep Sekolah Wawasan dan memperkasakan sukatan mata pelajaran sejarah meliputi Sabah dan Sarawak.

Ia disertakan cadangan kaedah penyelesaian terbaik kepada kerajaan untuk menangani isu dan cabaran berkaitan perpaduan.

Mengenai konvensyen berkenaan, Nik Ahmad Kamal berpandangan aspek penelitian sejarah yang difokuskan dapat membantu pembangunan negara serta mendepani isu semasa berkait toleransi antara kaum dan perpaduan.

"Bagi mencapai objektif disasarkan, saya berpandangan konvensyen ini perlu dijadikan peluang kepada semua kaum melontarkan pendapat untuk mencapai perpaduan nasional.

"Bukan hanya ahli akademik dan golongan pakar, tapi orang biasa yang mewakili sesuatu persatuan yang mungkin berfi kiran radikal juga boleh diberikan ruang untuk bercakap.

"Ini penting untuk mencapai matlamat perpaduan dan perbincangan bukan hanya bersifat sehala,” katanya.