LAHAD DATU - Seorang lelaki tertimbus di dalam tanah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan lori tangki dan terbabas lalu terjatuh ke gaung dengan kedalaman 10 meter di Batu 18, Jalan Sandakan-Lahad Datu di sini pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, identiti mangsa belum diketahui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang giat dilakukan oleh pasukan bomba.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 pagi.
Menurutnya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak 29 kilometer dari BBP Lahad Datu.
"Menurut laporan, kemalangan melibatkan lori tangki yang membawa muatan simen telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.
"Terdapat seorang mangsa terlibat dilaporkan tersepit dan tertimbus di dalam tanah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa sedang dijalankan di lokasi kejadian dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa.