[VIDEO] Pendidikan formal untuk anak pengikut GISBH bermula Oktober ini

Iklan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan akses pendidikan formal dan berstruktur untuk lebih 300 kanak-kanak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan, bermula 1 Oktober ini.

Fadhlina bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian mengambil berat dan memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan kanak-kanak tersebut mengikut pendidikan sepenuhnya.

Iklan
Iklan

"Kita bimbang sekiranya mereka tertinggal dalam tempoh siasatan sepanjang proses ini berlaku.

"KPM ambil tanggungjawab itu bagi memastikan pendidikan mereka dijamin," katanya menerusi sidang akhbar sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KPM di sini pada Isnin.

Iklan

Ujar beliau, sesi penilaian akan dilakukan terlebih dahulu bagi mengenalpasti tahap kemahiran anak-anak tersebut.

"Ini termasuk penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), kemudian psikososial dan kini mereka sedang melakukan sesi bersama kaunseling.

Iklan

"Selepas selesai semua sesi tersebut maka KPM akan mengambil alih dalam isu pendidikan," jelas Fadhlina.

Menurut beliau, modul khas khusus dan intervensi dari semasa ke semasa turut dilakukan untuk kumpulan itu berdasarkan tiga kohort iaitu pra sekolah, sekolah rendah serta menengah.

"Pertamanya mereka tidak berada di dalam sekolah biasa iaitu tidak bersama dengan anak arus perdana.

"Jadi KPM pernah buat sebelum ini (modul khas) dan kita percaya ada isu untuk ditangani secara spesifik.

"Sebab itu mereka perlu ditangani secara berasingan daripada kanak- kanak lain," katanya.

Sejak 12 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan menerusi serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sebahagian ibu bapa daripada 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari 20 rumah amal kendalian GISBH.

Seramai 149 kanak-kanak berusia antara setahun sehingga 10 tahun diberi perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di empat lokasi selamat.

Baki 243 mangsa masih ditempatkan di Pulapol akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.

Sementara itu, ditanya adakah ibu bapa kanak-kanak berkenaan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pendidikan 1996, Fadhlina berkata, pihaknya sedang meneliti perkara tersebut.

"Anak-anak yang dinafikan persekolahan merupakan isu serius kerana di bawah akta ini telah mewajibkan perkara ini.

"Kita sedang lihat perkara ini dengan serius dan pasukan undang-undang sedang meneliti.

"Barang kali jika tindakan diambil akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.