MAHA 2024: NAFAS catat hasil jualan hampir RM1 juta

Iklan
Muhammad Faris bercakap kepada pemberita mengenai penglibatan NAFAS pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 baru-baru ini. - Foto: Bernama

SERDANG - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatatkan kutipan hasil penjualan produk hampir RM1 juta pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata, ia merupakan rekod hasil penjualan terbesar yang dicapai pertubuhan itu dalam sejarah penyertaannya dalam MAHA.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, NAFAS mengetengahkan produk seperti baja, produk input pertanian, ayam bulat, ayam keratan, produk perapan sejuk beku dan jentera pertanian di lima reruai sepanjang MAHA 2024 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini sejak 11 Sept hingga semalam.

"Alhamdulillah kami berjaya melepasi hasil jualan yang pernah direkodkan NAFAS pada MAHA yang disertai sebelum ini.

Iklan

"Nampaknya MAHA 2024 yang juga menandakan 100 tahun penganjurannya membawa tuah buat kami," katanya kepada pemberita di NAFAS Cube di sini baru-baru ini.

Muhammad Faris berkata, selain mencatatkan penjualan yang tinggi, NAFAS turut berjaya memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) berhubung kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan produk pertanian, antaranya bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang berjumlah RM9 juta bagi tempoh dua tahun.

Iklan

"Kami juga sudah terima beberapa pertanyaan daripada pihak negara luar seperti Myanmar, Kemboja dan beberapa negara lain yang berminat untuk memulakan kerjasama dalam produk-produk utama kami," katanya.

Muhammad Faris berkata, NAFAS juga telah melancarkan beberapa produk baharu pada MAHA 2024 antaranya baja cecair Peladang 25 yang sesuai digunakan untuk pelepasan baja terkawal serta Kit Pertanian Bandar NAFAS bertujuan menggalakkan orang ramai menanam sayur di rumah.

Sementara itu, mengulas mengenai kejayaan penganjuran MAHA 2024, beliau berkata, kehadiran lebih lima juta pengunjung menunjukkan rakyat kini celik mengenai kepentingan agenda keterjaminan makanan negara.

"Ini juga bukti bahawa minat dalam kalangan rakyat Malaysia kepada produk-produk pertanian untuk bercucuk tanam, mungkin sebagai cara mendapatkan pendapatan tambahan atau hobi semakin meluas.

"Data (penjualan) menunjukkan pemintaan untuk produk seperti baja bagi pelbagai jenis tanaman memang laku 'macam pisang goreng' pada MAHA tahun ini," katanya. - Bernama